Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN,
dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu.
Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan,
kerana aku percaya kepada perintah-Mu.
Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu,
tetapi kini aku mematuhi firman-Mu.
Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik;
ajarlah aku perintah-Mu.
Orang sombong memfitnah aku,
tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu.
Mereka tidak mempunyai pengertian,
tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku.
Memang baik Engkau menghukum aku,
supaya aku memahami perintah-Mu.
Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga
daripada segala kekayaan di dunia.
Engkau mencipta dan membentuk aku;
berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu.
Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku,
kerana aku percaya kepada janji-Mu.
Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN,
dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia.
Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku,
menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu.
Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup,
kerana aku gemar akan Taurat-Mu.
Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku,
tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu.
Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku,
semua orang yang mengenal perintah-Mu.
Semoga aku mentaati segala perintah-Mu,
supaya aku tidak dipermalukan.
Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku;
aku percaya akan janji-Mu.
Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan,
sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?”
Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang,
namun aku tidak melupakan perintah-Mu.
Sampai bilakah aku mesti menunggu?
Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku?
Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu
sudah menggali lubang untuk memerangkap aku.
Semua perintah-Mu dapat dipercayai;
tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta!
Mereka hampir berjaya membunuh aku,
tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu.
Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal,
supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.
Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya;
firman-Mu kekal abadi di syurga.
Engkau tetap setia selama-lamanya,
Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada.
Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang,
kerana semuanya hamba-Mu.
Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku,
pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku.
Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu,
kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku.
Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu;
aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu.
Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku,
tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu.
Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas;
hanya perintah-Mu yang sempurna.