MAZMUR 119:65-96

MAZMUR 119:65-96 BM

Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu. Ya TUHAN, firman-Mu kekal selama-lamanya; firman-Mu kekal abadi di syurga. Engkau tetap setia selama-lamanya, Engkau telah menempatkan bumi, dan bumi tetap ada. Demi perintah-Mu segala sesuatu tetap ada sampai sekarang, kerana semuanya hamba-Mu. Sekiranya Taurat-Mu bukan sumber kegembiraanku, pasti aku sudah mati kerana kesengsaraanku. Aku tidak sekali-kali akan melalaikan peraturan-Mu, kerana dengan peraturan itu Engkau memelihara nyawaku. Selamatkanlah aku kerana aku kepunyaan-Mu; aku telah berusaha untuk mentaati perintah-Mu. Orang jahat tertunggu-tunggu hendak membunuh aku, tetapi aku akan merenungkan hukum-Mu. Aku sedar bahawa segala-galanya mempunyai batas; hanya perintah-Mu yang sempurna.