MAZMUR 119:41-88

MAZMUR 119:41-88 BM

Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu. Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu; janji yang telah memberikan harapan kepadaku. Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur, kerana janji-Mu memberi aku hidup. Orang sombong selalu menghina aku, tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu. Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu, dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN. Aku sangat marah kepada orang jahat apabila mereka melanggar Taurat-Mu. Selama hidupku yang singkat di bumi ini, aku menggubah lagu tentang perintah-Mu. Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN, dan aku memikirkan Taurat-Mu. Aku mendapat kebahagiaan dengan mentaati perintah-Mu. Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN; aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu. Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu; kasihanilah aku menurut janji-Mu. Aku telah memikirkan kelakuanku, dan berjanji akan menurut peraturan-Mu. Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa untuk melakukan perintah-Mu. Orang jahat memasang perangkap untukku, tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu. Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau, kerana ketetapan-Mu adil. Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu, semua orang yang mematuhi hukum-Mu. Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal; ajarlah aku perintah-Mu. Engkau telah menepati janji-Mu, ya TUHAN, dan Engkau baik hati kepadaku, hamba-Mu. Berilah aku kebijaksanaan dan pengetahuan, kerana aku percaya kepada perintah-Mu. Sebelum Engkau menghukum aku, aku sering melanggar perintah-Mu, tetapi kini aku mematuhi firman-Mu. Engkau sungguh baik dan perbuatan-Mu baik; ajarlah aku perintah-Mu. Orang sombong memfitnah aku, tetapi dengan sepenuh hati aku mematuhi peraturan-Mu. Mereka tidak mempunyai pengertian, tetapi Taurat-Mu menyenangkan hatiku. Memang baik Engkau menghukum aku, supaya aku memahami perintah-Mu. Bagiku, Taurat-Mu lebih berharga daripada segala kekayaan di dunia. Engkau mencipta dan membentuk aku; berilah aku pengertian untuk memahami hukum-Mu. Orang yang menghormati Engkau akan bergembira apabila melihat aku, kerana aku percaya kepada janji-Mu. Aku tahu bahawa ketetapan-Mu adil, ya TUHAN, dan Engkau menghukum aku kerana Engkau setia. Semoga kasih-Mu yang kekal menghiburkan aku, menurut janji-Mu kepadaku, hamba-Mu. Kasihanilah aku, lalu aku akan hidup, kerana aku gemar akan Taurat-Mu. Biarlah orang sombong dipermalukan kerana menuduh aku, tetapi aku akan merenungkan peraturan-Mu. Semoga orang yang menghormati Engkau datang kepadaku, semua orang yang mengenal perintah-Mu. Semoga aku mentaati segala perintah-Mu, supaya aku tidak dipermalukan. Ya TUHAN, aku lelah menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku; aku percaya akan janji-Mu. Mataku penat menanti-nantikan apa yang Engkau janjikan, sementara aku bertanya, “Bilakah Engkau akan menolong aku?” Aku seperti kirbat wain yang sudah dibuang, namun aku tidak melupakan perintah-Mu. Sampai bilakah aku mesti menunggu? Bilakah Engkau menghukum mereka yang menganiaya aku? Orang sombong yang tidak mematuhi Taurat-Mu sudah menggali lubang untuk memerangkap aku. Semua perintah-Mu dapat dipercayai; tolonglah aku kerana orang menganiaya aku dengan dusta! Mereka hampir berjaya membunuh aku, tetapi aku tidak mengabaikan perintah-Mu. Semoga Engkau baik hati kepadaku kerana kasih-Mu yang kekal, supaya aku dapat mentaati hukum-Mu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MAZMUR 119:41-88