Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu,
dan aku akan mentaatinya selalu.
Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya,
dan dengan sepenuh hati melakukannya.
Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu,
kerana perintah-Mu menggembirakan aku.
Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu,
dan bukan untuk mendapat kekayaan.
Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia;
berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.
Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu,
janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.
Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti;
betapa baiknya ketetapan-Mu.
Aku mahu mentaati perintah-Mu;
berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku,
kerana aku mempercayai firman-Mu.
Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar,
kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.
Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu,
untuk selama-lamanya.
Maka aku akan hidup dengan bebas,
kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.
Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja,
dan aku tidak akan dipermalukan.
Aku gemar mentaati perintah-Mu,
kerana aku mencintai perintah-Mu.
Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu;
aku akan merenungkan peraturan-Mu.
Ingatlah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu;
janji yang telah memberikan harapan kepadaku.
Bahkan dalam kesengsaraan pun aku terhibur,
kerana janji-Mu memberi aku hidup.
Orang sombong selalu menghina aku,
tetapi aku tidak menyimpang daripada Taurat-Mu.
Aku ingat akan ketetapan-Mu yang ada sejak dahulu,
dan ketetapan-Mu menghiburkan hatiku, ya TUHAN.
Aku sangat marah kepada orang jahat
apabila mereka melanggar Taurat-Mu.
Selama hidupku yang singkat di bumi ini,
aku menggubah lagu tentang perintah-Mu.
Pada waktu malam aku ingat akan Engkau, ya TUHAN,
dan aku memikirkan Taurat-Mu.
Aku mendapat kebahagiaan
dengan mentaati perintah-Mu.
Hanya Engkau yang aku inginkan, ya TUHAN;
aku berjanji untuk mematuhi hukum-Mu.
Dengan sepenuh hati aku meminta kepada-Mu;
kasihanilah aku menurut janji-Mu.
Aku telah memikirkan kelakuanku,
dan berjanji akan menurut peraturan-Mu.
Aku bergegas-gegas dan tidak membuang masa
untuk melakukan perintah-Mu.
Orang jahat memasang perangkap untukku,
tetapi aku tidak melupakan Taurat-Mu.
Pada tengah malam aku bangun untuk memuji Engkau,
kerana ketetapan-Mu adil.
Aku bersahabat dengan semua orang yang taat kepada-Mu,
semua orang yang mematuhi hukum-Mu.
Ya TUHAN, bumi penuh dengan kasih-Mu yang kekal;
ajarlah aku perintah-Mu.