MAZMUR 119:21-48

MAZMUR 119:21-48 BM

Engkau menegur orang yang sombong; terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu. Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka, kerana aku telah melakukan hukum-Mu. Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku, tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu. Peraturan-Mu menyenangkan hatiku; peraturan-Mu menasihati aku. Aku terbaring di atas debu kerana kalah; pulihkanlah aku menurut janji-Mu. Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku; ajarlah aku kehendak-Mu. Tolonglah aku memahami hukum-Mu, dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan. Jiwaku hancur kerana kesedihan; kuatkanlah aku menurut janji-Mu. Jauhkanlah aku dari jalan yang salah, dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu. Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu, dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu. Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN, jangan biarkan aku dipermalukan. Aku suka mentaati perintah-Mu, kerana Engkau menambahkan pengertianku. Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu, dan aku akan mentaatinya selalu. Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya, dan dengan sepenuh hati melakukannya. Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu, kerana perintah-Mu menggembirakan aku. Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu, dan bukan untuk mendapat kekayaan. Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia; berilah aku hidup menurut kehendak-Mu. Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu, janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu. Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti; betapa baiknya ketetapan-Mu. Aku mahu mentaati perintah-Mu; berilah aku hidup baru kerana Engkau adil. Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku, kerana aku mempercayai firman-Mu. Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar, kerana aku yakin akan ketetapan-Mu. Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu, untuk selama-lamanya. Maka aku akan hidup dengan bebas, kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu. Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja, dan aku tidak akan dipermalukan. Aku gemar mentaati perintah-Mu, kerana aku mencintai perintah-Mu. Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu; aku akan merenungkan peraturan-Mu.