MAZMUR 119:137-176

MAZMUR 119:137-176 BM

Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup. Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu. Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu. Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu. Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu. Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar. Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya. Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu. Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu. Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu. Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu. Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu. Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi. Orang berkuasa menyerang aku tanpa alasan, tetapi hanya Taurat-Mu yang aku takuti. Janji-Mu membahagiakan aku, seperti orang yang menemukan harta. Aku sangat membenci segala dusta, tetapi aku mencintai Taurat-Mu. Aku terus-menerus bersyukur kepada-Mu bagi ketetapan-Mu yang adil. Orang yang mencintai Taurat-Mu mendapat kesejahteraan; mereka tidak akan ditimpa malapetaka. Aku menunggu Engkau untuk menyelamatkan aku, ya TUHAN, dan aku melakukan segala perintah-Mu. Aku mentaati ajaran-Mu, dan mencintainya dengan segenap hati. Aku mematuhi perintah dan peraturan-Mu, kerana Engkau melihat segala perbuatanku. Semoga seruanku minta tolong sampai kepada-Mu, ya TUHAN! Berilah aku pengertian seperti yang telah Engkau janjikan. Dengarkanlah doaku, dan selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Aku akan memuji Engkau selalu, kerana Engkau mengajar aku hukum-Mu. Aku akan menyanyi tentang Taurat-Mu, kerana perintah-Mu adil. Semoga Engkau selalu bersedia menolong aku, kerana aku mahu mengikut perintah-Mu. Ya TUHAN, aku berharap supaya diselamatkan oleh-Mu, Taurat-Mu menggembirakan hatiku. Semoga aku hidup supaya aku dapat memuji Engkau; semoga peraturan-Mu menolong aku. Aku merayau seperti domba yang sesat; oleh itu datanglah untuk mencari hamba-Mu, kerana aku tidak mengabaikan hukum-Mu.