MAZMUR 119:129-160

MAZMUR 119:129-160 BM

Ajaran-Mu sungguh mengagumkan; aku mentaatinya dengan sepenuh hati. Penjelasan ajaran-Mu memberikan cahaya, memberikan pengertian kepada orang jahil. Aku haus akan perintah-Mu, aku sangat menginginkannya. Berpalinglah kepadaku dan kasihanilah aku seperti Engkau sentiasa mengasihani orang yang mengasihi-Mu. Menurut janji-Mu, jangan biarkan aku jatuh; jangan biarkan kejahatan menguasai aku. Selamatkanlah aku daripada orang yang menindas aku, supaya aku dapat mentaati perintah-Mu. Berkatilah aku dengan hadirat-Mu, dan ajarlah aku hukum-Mu. Air mataku mengalir seperti sungai, kerana orang tidak taat kepada Taurat-Mu. Engkau adil, ya TUHAN, dan hukum-Mu adil. Peraturan yang Engkau berikan semuanya adil dan benar. Kemarahan membara dalam diriku kerana musuhku melanggar perintah-Mu. Janji-Mu dapat dipercayai, aku sangat mencintainya. Aku ini tidak penting dan aku terhina, tetapi aku tidak melalaikan ajaran-Mu. Keadilan-Mu kekal selama-lamanya, dan Taurat-Mu tetap benar. Kesusahan dan kekhuatiran menimpa aku, tetapi perintah-Mu menggembirakan hatiku. Peraturan-Mu selalu adil; berilah aku pengertian supaya aku hidup. Dengan sepenuh hati, aku berseru kepada-Mu; kabulkanlah doaku, ya TUHAN; aku akan taat kepada perintah-Mu. Aku berseru kepada-Mu; selamatkanlah aku; aku mahu mematuhi hukum-Mu. Sebelum fajar aku berseru kepada-Mu minta tolong, aku berharap kepada janji-Mu. Sepanjang malam aku tidak tidur, kerana merenungkan peraturan-Mu. Demi kasih-Mu yang kekal, ya TUHAN, dengarlah aku; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Penganiayaku yang kejam sudah dekat; mereka tidak pernah mematuhi Taurat-Mu. Tetapi Engkau dekat kepadaku, ya TUHAN, dan segala perintah-Mu itu benar. Sejak dahulu aku tahu akan peraturan-Mu, yang Engkau kekalkan selama-lamanya. Lihatlah penderitaanku dan selamatkanlah aku, kerana aku tidak mengabaikan Taurat-Mu. Belalah perkaraku dan bebaskanlah aku; selamatkanlah aku menurut janji-Mu. Orang jahat tidak akan diselamatkan, kerana mereka tidak mematuhi hukum-Mu. Sungguh besar belas kasihan-Mu, ya TUHAN; kasihanilah aku dan peliharakanlah nyawaku. Banyak orang memusuhi dan menindas aku, tetapi aku tidak pernah mengabaikan hukum-Mu. Aku benci melihat pengkhianat-pengkhianat itu, kerana mereka tidak mematuhi perintah-Mu. Lihatlah, aku sangat mencintai peraturan-Mu, ya TUHAN. Selamatkanlah aku, kerana kasih-Mu. Segala firman-Mu benar, dan semua ketetapan-Mu yang adil itu abadi.