Berbahagialah orang yang hidup tanpa cela,
dan hidup menurut Taurat TUHAN.
Berbahagialah mereka yang menurut perintah-Nya,
dan mentaati Dia dengan sepenuh hati.
Mereka tidak melakukan kejahatan,
tetapi hidup menurut kehendak TUHAN.
Engkau memberi kami hukum-Mu, ya TUHAN,
dan menyuruh kami mematuhinya dengan setia.
Semoga aku setia
mematuhi peraturan-Mu.
Jika aku menumpukan perhatian kepada semua perintah-Mu,
aku tidak akan dipermalukan.
Ketika aku mempelajari ketetapan-Mu yang adil,
aku akan memuji Engkau dengan hati yang murni.
Aku akan taat kepada hukum-Mu;
janganlah sekali-kali tinggalkan aku!
Bagaimanakah seorang pemuda dapat hidup suci?
Dia dapat hidup suci dengan mentaati perintah-Mu.
Dengan sepenuh hati aku berusaha untuk mentaati Engkau;
jangan biarkan aku menyimpang daripada perintah-Mu.
Aku menyimpan hukum-Mu dalam hatiku,
supaya aku tidak berdosa terhadap-Mu.
Aku memuji Engkau, ya TUHAN;
ajarlah aku kehendak-Mu.
Aku akan menceritakan
segala hukum yang telah Engkau berikan.
Aku gemar menurut perintah-Mu,
lebih daripada memiliki segala kekayaan.
Aku akan mengkaji peraturan-Mu,
dan menumpukan perhatian kepada ajaran-Mu.
Aku gemar akan hukum-Mu;
aku tidak akan melupakan perintah-Mu.
Semoga Engkau murah hati kepadaku, hamba-Mu,
supaya aku dapat hidup dan mentaati ajaran-Mu.
Bukalah mataku supaya aku dapat melihat
ajaran yang mengagumkan dalam Taurat-Mu.
Aku tinggal di bumi ini hanya untuk seketika;
janganlah sembunyikan perintah-Mu daripadaku.
Hatiku sangat rindu
untuk mengetahui ketetapan-Mu setiap waktu.
Engkau menegur orang yang sombong;
terkutuklah orang yang melanggar perintah-Mu.
Jangan biarkan aku dicaci dan dihina mereka,
kerana aku telah melakukan hukum-Mu.
Walaupun para pemerintah berkomplot melawan aku,
tetapi aku akan tetap mengkaji ajaran-Mu.
Peraturan-Mu menyenangkan hatiku;
peraturan-Mu menasihati aku.
Aku terbaring di atas debu kerana kalah;
pulihkanlah aku menurut janji-Mu.
Aku mengaku segala perbuatanku dan Engkau menjawab aku;
ajarlah aku kehendak-Mu.
Tolonglah aku memahami hukum-Mu,
dan aku akan merenungkan ajaran-Mu yang mengagumkan.
Jiwaku hancur kerana kesedihan;
kuatkanlah aku menurut janji-Mu.
Jauhkanlah aku dari jalan yang salah,
dan demi kebaikan-Mu, ajarlah aku Taurat-Mu.
Aku telah mengambil keputusan untuk mentaati-Mu,
dan menumpukan perhatian kepada ketetapan-Mu.
Aku telah menurut peraturan-Mu, ya TUHAN,
jangan biarkan aku dipermalukan.
Aku suka mentaati perintah-Mu,
kerana Engkau menambahkan pengertianku.
Ya TUHAN, ajarlah aku makna hukum-Mu,
dan aku akan mentaatinya selalu.
Jelaskanlah Taurat-Mu kepadaku supaya aku mematuhinya,
dan dengan sepenuh hati melakukannya.
Tolonglah aku mematuhi perintah-Mu,
kerana perintah-Mu menggembirakan aku.
Berilah aku keinginan untuk mentaati hukum-Mu,
dan bukan untuk mendapat kekayaan.
Jangan biarkan aku menumpukan perhatian kepada perkara sia-sia;
berilah aku hidup menurut kehendak-Mu.
Tepatilah janji-Mu kepadaku, hamba-Mu,
janji yang Engkau berikan kepada mereka yang mentaati-Mu.
Jauhkanlah aku daripada hinaan yang aku takuti;
betapa baiknya ketetapan-Mu.
Aku mahu mentaati perintah-Mu;
berilah aku hidup baru kerana Engkau adil.
Ya TUHAN, tunjukkanlah kasih-Mu kepadaku;
selamatkanlah aku menurut janji-Mu.
Barulah aku dapat menjawab orang yang mengejek aku,
kerana aku mempercayai firman-Mu.
Tolonglah aku untuk sentiasa bercakap benar,
kerana aku yakin akan ketetapan-Mu.
Aku akan sentiasa mentaati Taurat-Mu,
untuk selama-lamanya.
Maka aku akan hidup dengan bebas,
kerana aku berusaha untuk mematuhi ajaran-Mu.
Aku akan mengumumkan perintah-Mu kepada raja-raja,
dan aku tidak akan dipermalukan.
Aku gemar mentaati perintah-Mu,
kerana aku mencintai perintah-Mu.
Aku menghormati dan mencintai perintah-Mu;
aku akan merenungkan peraturan-Mu.