MAZMUR 102
102
Doa Orang dalam Kesusahan
1Doa seorang yang sengsara dan letih lesu, yang mengeluh kepada TUHAN.
2Dengarlah doaku, ya TUHAN,
dengarlah seruanku minta pertolongan.
3Janganlah berpaling daripadaku
ketika aku dalam kesusahan.
Dengarlah apabila aku berseru,
dan jawablah permintaanku dengan segera.
4Hidupku menghilang seperti asap;
badanku seolah-olah terbakar.
5Aku layu seperti rumput kering,
dan seleraku hilang.
6Aku mengerang dengan kuat;
badanku kurus kering.
7Aku bagaikan burung liar di padang pasir,
bagaikan burung hantu di tempat runtuhan.
8Aku tidak dapat tidur;
aku bagaikan burung yang kesepian di bumbung rumah.
9Sepanjang hari musuh mencela aku;
mereka yang mempermainkan aku menggunakan namaku untuk mengutuk.
10Abu menjadi makananku,
dan minumanku bercampur air mata
11kerana kemurkaan-Mu yang menyala-nyala.
Engkau telah mengangkat dan membuang aku.
12Hidupku berlalu seperti bayang-bayang pada waktu petang;
aku layu seperti rumput kering.
13Tetapi Engkau, ya TUHAN, raja selama-lamanya;
semua keturunan akan mengingati Engkau.
14Engkau akan bangkit dan mengasihani Sion;
masanya sudah tiba untuk mengasihaninya;
inilah masanya yang tepat.
15Walaupun Sion telah musnah, hamba-hamba-Mu mengasihinya;
walaupun Sion telah runtuh, mereka mengasihaninya.
16Bangsa-bangsa akan takut kepada TUHAN;
semua raja di bumi akan takut terhadap kuasa-Nya.
17Apabila TUHAN membina Sion semula,
Dia akan menyatakan keagungan-Nya.
18Dia akan mendengar doa umat-Nya yang papa,
dan tidak menolak permohonan mereka.
19Tulislah semua perbuatan TUHAN untuk keturunan yang akan datang,
supaya generasi yang akan datang dapat memuji Dia.
20TUHAN memandang ke bawah dari tempat-Nya yang suci,
Dia memandang dari syurga ke bumi,
21untuk mendengar keluhan orang tawanan,
dan membebaskan mereka yang dijatuhi hukuman mati.
22Oleh itu nama-Nya akan diisytiharkan di Sion;
Dia akan dipuji-puji di Yerusalem,
23ketika bangsa dan kerajaan berkumpul
untuk menyembah TUHAN.
24TUHAN melemahkan aku semasa aku masih muda;
Dia memendekkan umurku.
25Ya Allah, janganlah ambil nyawaku,
sebelum lanjut usiaku.
Engkau hidup selama-lamanya;
26dahulu Engkau menciptakan bumi,
dan langit pun karya tangan-Mu sendiri.
27Semuanya akan lenyap, tetapi Engkau tetap ada;
semuanya akan usang seperti kain.
Engkau membuang semuanya seperti baju lama;
lalu semuanya akan lenyap.
28 Tetapi Engkau tetap sama,
hidup-Mu tidak akan berakhir.
29Anak-anak kami akan hidup dengan selamat,
dan keturunan mereka sentiasa aman dalam perlindungan-Mu.
Terpilih Sekarang Ini:
MAZMUR 102: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.