AMSAL 30
30
Kata-Kata Agur
1Inilah kata-kata yang diucapkan Agur anak Yake dari Masa:
“Aku lelah, ya Allah. Aku lelah!
Aku tidak berdaya.
2Aku bodoh seperti binatang;
aku tidak mempunyai pengertian.
3Aku tidak pernah memperoleh hikmat,
dan aku sama sekali tidak mengenal Allah.
4Siapa pernah naik turun syurga?
Siapa pernah menggenggam angin,
atau membungkus air dengan kain,
ataupun menentukan batas-batas bumi?
Siapakah namanya, dan siapakah anaknya?
Pasti engkau tahu.
5Allah menepati segala janji-Nya. Dia seperti perisai bagi semua orang yang meminta perlindungan-Nya. 6Jika kamu menambah apa yang dikatakan-Nya, Dia akan menegur kamu dan membuktikan bahawa kamu bohong.”
Kata-Kata Hikmat Lain
7Ya Allah, aku memohon dua hal sebelum aku mati: 8tolonglah aku supaya aku tidak berdusta, dan tolonglah aku supaya aku tidak kaya dan tidak miskin. Oleh itu, berilah aku hanya apa yang aku perlukan. 9Jika aku kaya, mungkin aku berkata aku tidak memerlukan Engkau. Sebaliknya, jika aku miskin, mungkin aku mencuri, lalu memalukan Allahku.
10Jangan fitnah seorang hamba kepada tuannya. Kamu akan dikutuk, dan kamu akan menderita.
11Ada orang mengutuk bapa dan tidak menghargai ibu.
12Ada orang menganggap diri mereka suci, padahal kotor sekali.
13Ada orang menyangka diri mereka baik sekali - bukan main baiknya!
14Ada orang memperdaya orang yang miskin dan susah. Demikianlah cara mereka mencari nafkah.
15Lintah darat mempunyai dua orang anak perempuan; kedua-duanya bernama “Berilah aku”!
Ada empat hal yang tidak pernah puas:
16dunia orang mati,
perempuan mandul,
tanah gersang yang haus akan hujan,
dan api yang merebak ke serata tempat.
17Seorang yang mencemuh bapanya, atau menghina ibunya yang sudah tua, patut dimakan burung hering, atau matanya dipatuk burung gagak hutan.
18Ada empat hal yang terlalu sukar untuk aku fahami:
19burung helang yang terbang di langit,
ular yang menjalar di atas batu,
kapal yang belayar di tengah laut,
dan lelaki serta wanita yang jatuh cinta.
20Inilah yang dilakukan oleh isteri yang tidak setia: dia berzina, lalu mandi. Setelah itu dia berkata, “Aku tidak berbuat apa-apa yang salah!”
21Ada empat hal yang sukar diterima di seluruh dunia:
22seorang hamba yang menjadi raja,
seorang bodoh yang mendapat semua makanan yang diingininya,
23seorang perempuan yang dibenci orang, tetapi dapat berkahwin,
dan seorang hamba perempuan yang merampas kedudukan puannya.
24Ada empat jenis binatang di bumi ini yang kecil tetapi sangat bijak:
25Semut tidak kuat, tetapi menyimpan makanan pada musim panas.
26Landak batu tidak kuat, tetapi membuat rumah di bukit batu.
27Belalang tidak mempunyai raja, tetapi berbaris dengan teratur.
28Cicak dapat ditangkap dengan tangan, namun terdapat di istana.
29Ada empat jenis makhluk yang kelihatan gagah ketika berjalan:
30singa, binatang yang terkuat dan tidak takut terhadap apa-apa;
31kambing jantan;
ayam jantan yang mengigal;
dan raja di hadapan rakyat.
32Jika kamu telah berlaku sombong serta merancangkan kejahatan, berfikirlah semula! 33Jika kamu memukul susu, kamu mendapat mentega. Jika kamu meninju hidung orang, darah keluar. Jika kamu membangkitkan kemarahan, kamu mendapat kesusahan.
Terpilih Sekarang Ini:
AMSAL 30: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.