AMSAL 17:1-28

AMSAL 17:1-28 BM

Lebih baik makan sesuap makanan dengan fikiran yang tenang, daripada makan jamuan besar di rumah yang penuh dengan pertengkaran. Hamba yang bijak akan menguasai anak tuannya yang mendatangkan malu, dan mewarisi sebahagian hartanya. Emas dan perak diuji oleh api, tetapi hati orang diuji oleh TUHAN. Orang jahat menyambut cadangan jahat, dan pembohong suka mendengar kata-kata dusta. Sesiapa yang mentertawakan orang miskin, menghina Allah yang mencipta mereka. Sesiapa yang gembira kerana kemalangan orang lain akan dihukum. Orang tua bangga akan cucu seperti anak bangga akan ibu bapa. Orang berhormat tidak patut berdusta, dan orang bodoh tidak dapat mengatakan yang berfaedah. Ada orang berpendapat bahawa rasuah dapat membuat keajaiban; mereka percaya segalanya terlaksana dengan rasuah. Jika ingin disukai orang, maafkanlah kesalahan yang dilakukan mereka. Membangkit-bangkit kesalahan akan memutuskan persahabatan. Satu kali ditegur ajar lebih bererti bagi orang bijak, daripada seratus kali cambukan pada orang bodoh. Maut datang seperti utusan yang kejam kepada orang jahat yang selalu menimbulkan kekacauan. Lebih baik berjumpa dengan beruang betina yang kehilangan anaknya, daripada berjumpa dengan orang bodoh yang sibuk dengan kebodohannya. Orang yang membalas kebaikan dengan kejahatan, tidak dapat membanteras kejahatan dari rumahnya. Permulaan pertengkaran bagaikan retak pada empangan; cegahlah pertengkaran sebelum bermula. TUHAN membenci perbuatan melepaskan orang jahat dan perbuatan menyalahkan orang yang tidak bersalah. Sia-sia sahaja orang bodoh menghabiskan wang mencari hikmat, kerana dia tidak berakal. Sahabat sentiasa saling mengasihi, dan sanak keluarga saling menanggung kesusahan. Hanya orang yang tidak berakal mahu menanggung hutang orang lain. Orang yang suka akan dosa suka bertengkar. Orang yang selalu bercakap besar mencari kesusahan. Orang yang menipu tidak akan bahagia; orang yang bermulut jahat mendapat celaka. Anak yang melakukan perbuatan bodoh menyusahkan dan menyedihkan hati ibu bapanya. Hati yang gembira menyihatkan badan; hati yang sedih melemahkan semangat. Hakim yang curang menerima rasuah dengan diam-diam dan tidak menjalankan keadilan. Tujuan orang bijak adalah memperoleh hikmat, tetapi tujuan orang bodoh tidak menentu. Anak yang bodoh menyedihkan hati bapanya dan mengesalkan hati ibunya. Tidaklah patut mendenda orang yang tidak bersalah, dan tidaklah adil menghukum orang yang baik. Orang yang berpengetahuan tidak banyak bercakap. Orang yang berpengertian sentiasa tenang. Orang bodoh pun mungkin dianggap bijak dan pandai jika mereka berdiam diri dan menutup mulut.