AMSAL 13:1-25

AMSAL 13:1-25 BM

Anak yang bijak menerima tegur ajar bapa, tetapi orang yang sombong tidak mahu menerima tegur ajar. Kata-kata orang baik mendatangkan balasan yang baik, tetapi orang yang penuh dengan muslihat suka akan keganasan. Orang yang berhati-hati dengan kata-katanya, melindungi diri sendiri. Orang yang bercakap sembarangan, membinasakan dirinya. Orang malas yang banyak keinginan, tidak akan mencapainya. Orang rajin akan mendapat apa sahaja yang diingini mereka. Orang jujur membenci dusta, tetapi kata-kata orang jahat memalukan dan membawa aib. Kejujuran melindungi orang yang tidak bersalah, tetapi kejahatan mencelakakan orang yang berdosa. Ada orang berpura-pura kaya, padahal tidak memiliki apa-apa. Ada pula orang berpura-pura miskin, padahal kaya raya. Orang kaya terpaksa menebus nyawa dengan kekayaan, tetapi orang miskin bebas daripada ancaman. Orang salih bagaikan pelita yang terang, tetapi orang jahat bagaikan pelita yang hampir padam. Kesombongan hanya membawa kesusahan; lebih bijak meminta nasihat. Kekayaan yang diperoleh dengan mudah, cepat habis, tetapi harta yang dikumpulkan sedikit demi sedikit akan semakin bertambah. Apabila harapan hancur, hati pun hancur; apabila hasrat tercapai, hati gembira. Orang yang menolak firman Allah akan mencelakakan diri, sebaliknya orang yang taat kepada perintah Allah akan mendapat pahala. Ajaran orang bijak bagaikan sumber kehidupan; apabila ada ancaman, ajaran itu menyelamatkan nyawa. Orang bijak mendapat kehormatan, tetapi orang yang tidak dapat dipercayai menuju kebinasaan. Orang bijak sentiasa berfikir dahulu sebelum bertindak, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka. Utusan yang tidak bertanggungjawab mendatangkan kesusahan, tetapi utusan yang dapat dipercayai mendatangkan kesejahteraan. Orang yang tidak mahu diajar akan menjadi miskin dan hina, tetapi orang yang mengendahkan nasihat akan dihormati. Alangkah baiknya mendapat apa yang diinginkan! Orang bodoh tidak mahu berpaling daripada kejahatan. Orang yang bergaul dengan orang bijak akan menjadi bijak; orang yang bersahabat dengan orang bodoh akan celaka. Kesusahan mengekori orang berdosa, tetapi orang baik menerima kebaikan. Orang baik akan mewariskan hartanya kepada anak cucu, sedangkan harta orang berdosa diwarisi oleh orang yang lurus hati. Tanah kosong dapat menghasilkan banyak makanan untuk orang miskin, tetapi orang yang tidak adil menghalang tanah itu daripada diusahakan. Orang yang tidak memukul anaknya, tidak mengasihi anak itu. Orang yang mengasihi anaknya akan mendisiplinkan anak itu. Orang baik sentiasa cukup makanan, tetapi orang jahat sentiasa kelaparan.