AMSAL 12
12
1Orang yang mencintai pengetahuan suka ditegur ajar. Orang yang tidak mahu ditegur ajar itu bodoh.
2TUHAN berkenan kepada orang baik, tetapi Dia menghukum orang yang merancang kejahatan.
3Orang tidak akan mendapat keselamatan daripada kejahatan, tetapi orang jujur tetap teguh.
4Isteri yang baik menjadi kebanggaan dan kebahagiaan suaminya, tetapi isteri yang memalukan suaminya bagaikan penyakit barah yang menjadikan tulang reput.
5Orang jujur memikirkan hal-hal yang baik, tetapi nasihat orang jahat penuh tipu muslihat.
6Kata-kata orang jahat dapat membunuh, tetapi kata-kata orang jujur menyelamatkan.
7Orang jahat akan binasa tanpa meninggalkan keturunan, tetapi orang baik sentiasa mempunyai keturunan.
8Orang bijak menerima penghargaan; orang bodoh menerima penghinaan.
9Lebih baik menjadi orang biasa yang mempunyai mata pencarian, daripada berlagak sebagai orang besar tetapi kelaparan.
10Orang baik memelihara ternakan mereka, tetapi orang jahat menyeksa ternakan mereka.
11Peladang yang rajin mendapat banyak makanan, tetapi orang yang mengejar hal yang sia-sia itu bodoh.
12Orang jahat menghendaki kejahatan semata-mata, tetapi orang baik bagaikan pokok yang teguh dan berbuah.
13Orang jahat dijerat oleh kata-kata mereka sendiri, tetapi orang baik menyelamatkan diri daripada kesukaran.
14Balasan seseorang bergantung kepada perkataan dan perbuatannya sendiri; dia akan mendapat balasan yang setimpal.
15Orang bodoh selalu menganggap diri mereka betul, sedangkan orang bijak mendengarkan nasihat.
16Orang bodoh lekas marah apabila tersinggung, tetapi orang bijak tidak menghiraukan nistaan.
17Bercakap benar menegakkan keadilan, sedangkan membohong mengakibatkan ketidakadilan.
18Kata-kata yang pedas melukai hati seperti tikaman pedang, tetapi ucapan yang bijak bagaikan ubat yang menyembuhkan.
19Dusta tidak tahan lama, tetapi kebenaran kekal selama-lamanya.
20Orang yang merancang kejahatan penuh dengan tipu daya; orang yang mengamalkan kebajikan akan berbahagia.
21Orang baik tidak akan ditimpa bencana, tetapi orang jahat selalu ditimpa kesusahan.
22TUHAN membenci pendusta, tetapi Dia berkenan kepada orang yang menepati janji.
23Orang bijak tidak menunjukkan pengetahuan mereka, tetapi orang bodoh mengiklankan kebodohan mereka.
24Kerajinan menjadikan orang berkuasa, tetapi kemalasan menyebabkan orang menjadi hamba.
25Kekhuatiran menyebabkan orang berdukacita, tetapi kata-kata yang baik menghiburkan hati.
26Orang baik memimpin sahabatnya, sedangkan orang jahat menyesatkan orang.
27Orang malas tidak sekali-kali akan mencapai hasrat mereka, tetapi orang rajin memperoleh harta yang banyak.
28Orang yang mengikut jalan yang benar akan hidup bahagia; orang yang mengikut jalan yang jahat menuju maut.
Terpilih Sekarang Ini:
AMSAL 12: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.