FILIPI 4:1-9

FILIPI 4:1-9 BM

Oleh itu, saudara-saudaraku, demikianlah hendaknya kamu berdiri teguh dalam hidup yang bersatu dengan Tuhan. Aku sangat mengasihi dan sangat merindukan kamu! Kamu sungguh menggembirakan aku dan menyebabkan aku berasa bangga! Euodia dan Sintikhe, aku memohon supaya kamu berdua sehati sebagai saudara seiman yang mentaati Tuhan. Rakanku yang setia, aku ingin kamu menolong kedua-dua orang wanita itu. Mereka sudah bekerja keras bersama-sama aku untuk mengkhabarkan Berita Baik, sama seperti Klemen dan semua orang lain yang bekerja bersama dengan aku. Nama mereka tertulis di dalam kitab Allah yang mengandungi nama orang yang memiliki hidup sejati. Semoga kamu sentiasa bersukacita kerana hidup bersatu dengan Tuhan. Sekali lagi aku berkata: bersukacitalah! Hendaklah kamu bertolak ansur. Tuhan akan datang segera. Janganlah khuatir akan apa pun. Dalam segala hal, berdoalah dan mintalah kepada Allah apa yang kamu perlukan. Apabila berdoa kepada Allah, hendaklah kamu selalu mengucap syukur. Kesejahteraan daripada Allah yang tidak mungkin difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu, kerana kamu sudah bersatu dengan Kristus Yesus. Akhirnya, saudara-saudaraku, hendaklah kamu menumpukan fikiran hanya kepada perkara-perkara yang baik dan yang patut dipuji, iaitu perkara yang benar, yang mulia, yang adil, yang murni, yang elok dan yang terhormat. Lakukanlah apa yang telah kamu pelajari dan terima daripadaku, baik kata-kata mahupun perbuatanku. Allah yang mengurniai kita kesejahteraan akan menyertai kamu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan FILIPI 4:1-9