FILIPI 3:1-8

FILIPI 3:1-8 BM

Akhirnya, saudara-saudaraku, semoga kamu bersukacita kerana telah hidup bersatu dengan Tuhan. Aku tidak berkeberatan mengulangi apa yang telah aku tulis dahulu, kerana hal itu baik untuk keselamatan kamu. Berhati-hatilah dengan mereka yang melakukan perbuatan jahat. Mereka itu ibarat anjing. Mereka mendesak bahawa orang harus disunat. Tetapi kitalah orang yang sudah menerima sunat yang benar, bukan mereka. Kita menyembah Allah dengan pertolongan Roh-Nya dan kita bersukacita kerana hidup bersatu dengan Kristus. Kita tidak bergantung kepada upacara yang lahiriah. Sebenarnya aku boleh bergantung kepada upacara-upacara itu. Jika sesiapa menyangka dia boleh bergantung kepada upacara yang lahiriah, aku mempunyai alasan yang lebih banyak. Aku disunat ketika berumur lapan hari. Aku dilahirkan sebagai orang Israel daripada suku Benyamin. Oleh itu aku orang Ibrani sejati. Dalam hal mentaati hukum agama Yahudi, aku tergolong orang Farisi. Aku sangat bersemangat melakukan apa yang aku anggap sebagai kehendak Allah, sehingga aku menganiaya orang yang percaya kepada Kristus. Jika orang boleh kembali kepada Allah dengan mentaati perintah Taurat, maka aku sudah melakukan semua perintah itu. Tetapi kerana apa yang sudah dilakukan oleh Kristus bagiku, semua yang dahulu aku anggap sebagai menguntungkan, kini merugikan. Bukan sahaja hal-hal itu aku anggap merugikan, tetapi semua hal lain yang biasa aku lakukan, sekarang aku anggap merugikan. Dengan demikian aku akan mendapat apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku. Kerana Kristus, aku telah meninggalkan segala perkara yang biasa aku lakukan. Aku menganggap semua itu sebagai sampah sahaja, supaya aku boleh mendapat Kristus