BILANGAN 28
28
Persembahan-Persembahan yang Tetap
(Kel 29.38-46)
1TUHAN menyuruh Musa 2menyampaikan perintah ini kepada umat Israel. Pada waktu-waktu yang ditetapkan, mereka mesti mempersembahkan persembahan makanan yang baunya menyenangkan hati TUHAN.
3Inilah persembahan makanan yang mesti dipersembahkan kepada TUHAN setiap hari: Bagi korban untuk menyenangkan hati TUHAN, diperlukan dua ekor domba jantan berumur satu tahun dan yang tidak ada cacat. 4Persembahkanlah seekor anak domba pada pagi hari dan seekor lagi pada petang hari; 5tiap-tiap korban itu harus disertai satu kilogram tepung terbaik bercampur satu liter minyak zaitun yang terbaik. 6Itulah korban harian yang dibakar semuanya, yang mula-mula dipersembahkan di Gunung Sinai, sebagai persembahan makanan; baunya menyenangkan hati TUHAN. 7Bersama dengan anak domba itu harus dipersembahkan juga satu liter wain sebagai korban wain, yang dituang ke atas mazbah. 8Anak domba untuk korban pada petang hari, bersama dengan korban wain harus dipersembahkan dengan cara yang sama seperti korban pada pagi hari. Korban ini adalah persembahan makanan yang baunya menyenangkan hati TUHAN.
Persembahan pada Hari Sabat
9Pada hari Sabat, persembahkanlah dua ekor domba jantan berumur satu tahun dan yang tidak ada cacat, serta dua kilogram tepung terbaik bercampur minyak zaitun sebagai korban untuk mengucap syukur dan juga korban wain. 10 Korban untuk menyenangkan hati TUHAN harus dipersembahkan pada tiap-tiap hari Sabat sebagai tambahan kepada korban harian bersama dengan korban wain.
Persembahan pada Hari Pertama Setiap Bulan
11Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN pada hari pertama tiap-tiap bulan, yang terdiri daripada dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun dan semuanya tidak ada cacat. 12Sebagai korban untuk mengucap syukur, persembahkanlah tepung terbaik bercampur minyak zaitun: tiga kilogram tepung terbaik bagi setiap ekor lembu jantan; dua kilogram tepung terbaik bagi domba jantan, 13dan satu kilogram tepung terbaik bagi setiap ekor anak domba. Korban-korban untuk menyenangkan hati TUHAN itu adalah persembahan makanan, yang baunya menyenangkan hati TUHAN. 14Bersama dengan korban itu harus dipersembahkan juga korban wain, sebanyak dua liter bagi setiap ekor lembu jantan, satu liter setengah bagi seekor domba jantan, dan satu liter bagi setiap ekor anak domba. Itulah peraturan tentang korban untuk menyenangkan hati TUHAN, yang harus dipersembahkan pada hari pertama setiap bulan sepanjang tahun. 15Di samping korban harian bersama dengan korban wain, persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa.
Persembahan pada Perayaan Roti Tidak Beragi
(Im 23.5-14)
16 Perayaan Paska bagi menghormati TUHAN harus diadakan pada hari keempat belas bulan pertama. 17Pada lima belas hari bulan itu, perayaan agama dimulakan dan berlangsung selama tujuh hari. Pada masa itu hanya roti yang tidak beragi boleh dimakan. 18Pada hari pertama perayaan itu, kamu harus berkumpul dan beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat. 19Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, sebagai persembahan makanan kepada-Nya: dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan dan tujuh ekor anak domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. 20Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur menurut apa yang ditetapkan, iaitu tepung bercampur minyak zaitun: bagi setiap ekor lembu persembahkanlah tiga kilogram tepung, dua kilogram bagi domba jantan, 21dan satu kilogram bagi setiap ekor anak domba jantan. 22Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat itu. 23Semua korban itu merupakan tambahan kepada korban yang dipersembahkan pada setiap pagi, iaitu korban untuk menyenangkan hati TUHAN. 24Dengan cara itu juga, selama tujuh hari, kamu harus mempersembahkan korban untuk menyenangkan hati TUHAN. Korban itu merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN, bersama dengan korban wain, yang dipersembahkan pada setiap hari. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. 25 Pada hari ketujuh, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat.
Persembahan pada Perayaan Menuai
(Im 23.15-22)
26Pada hari pertama Perayaan Menuai, apabila kamu mempersembahkan gandum baru kepada TUHAN, kamu harus berkumpul untuk beribadat; jangan lakukan pekerjaan berat. 27Persembahkanlah korban untuk menyenangkan hati TUHAN, iaitu dua ekor lembu jantan muda, seekor domba jantan, dan tujuh ekor domba jantan yang berumur satu tahun. Semuanya tidak boleh ada cacat. Bau korban itu menyenangkan hati TUHAN. 28Persembahkanlah korban untuk mengucap syukur, yang berupa tepung bercampur minyak zaitun: tiga kilogram untuk setiap ekor lembu jantan, dua kilogram untuk domba jantan 29dan satu kilogram untuk setiap ekor anak domba. 30Persembahkanlah juga seekor kambing jantan sebagai korban untuk mengampunkan dosa. Dengan cara itu kamu melakukan upacara penyucian untuk umat Israel. 31 Semua persembahan itu bersama dengan korban wain merupakan tambahan kepada korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk mengucap syukur, yang dipersembahkan setiap hari.
Terpilih Sekarang Ini:
BILANGAN 28: BM
Highlight
Kongsi
Salin
Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk
Today's Malay Version Bible with Deuterocanon © The Bible Society of Malaysia, 1996.