BILANGAN 27:1-11

BILANGAN 27:1-11 BM

Zelafehad mempunyai lima orang anak perempuan: Mahla, Noa, Hogla, Milka, dan Tirza. Bapa Zelafehad ialah Hefer, bapa Hefer ialah Gilead, bapa Gilead ialah Makhir, bapa Makhir ialah Manasye, bapa Manasye ialah Yusuf. Kelima-lima orang anak Zelafehad itu pergi menghadap Musa, Imam Eleazar, para pemimpin Israel, dan segenap umat yang berkumpul dekat pintu Khemah TUHAN. Mereka berkata, “Bapa kami meninggal di padang gurun tanpa mempunyai anak lelaki. Dia bukan pengikut Korah yang memberontak terhadap TUHAN. Bapa kami meninggal kerana dosanya sendiri. Tetapi mengapakah namanya lenyap daripada umat Israel hanya kerana dia tidak mempunyai anak lelaki? Berilah kami bahagian tanah bersama dengan sanak saudara bapa kami.” Musa menyampaikan perkara mereka itu kepada TUHAN, lalu TUHAN berfirman kepadanya, “Permintaan anak-anak perempuan Zelafehad itu memang wajar; berilah mereka tanah bersama dengan sanak saudara bapa mereka. Warisan Zelafehad harus diwariskan kepada semua anak perempuannya. Beritahulah umat Israel bahawa apabila seorang lelaki meninggal tanpa mempunyai anak lelaki, tanah pusakanya harus diwariskan kepada anak perempuannya. Jika dia tidak mempunyai anak perempuan, tanah pusakanya harus diwariskan kepada saudara lelakinya. Jika dia tidak mempunyai saudara lelaki, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara lelaki bapanya. Jika dia tidak mempunyai saudara atau bapa saudara, tanah pusaka itu harus diwariskan kepada saudara mara yang terdekat kepadanya.” Umat Israel harus patuh kepada hukum itu, menurut perintah TUHAN melalui Musa.