BILANGAN 22:21-41

BILANGAN 22:21-41 BM

Keesokan paginya Bileam memasang pelana pada keldainya, lalu pergi bersama-sama para pemimpin Moab itu. Allah murka kerana Bileam berangkat. Sementara Bileam menunggang keldainya, diiringi oleh dua orang hambanya, malaikat TUHAN berdiri di tengah jalan untuk menghalangi dia. Apabila keldai itu nampak malaikat TUHAN berdiri di situ sambil memegang sebilah pedang, keldai itu menyimpang ke ladang. Bileam memukul keldainya dan menuntunnya kembali ke jalan. Kemudian malaikat TUHAN berdiri di bahagian jalan yang sempit, di antara dua kebun anggur dengan tembok batu di sebelah-menyebelah. Apabila keldai itu nampak malaikat di situ, keldai itu minggir sehingga kaki Bileam terjepit ke tembok. Sekali lagi Bileam memukul keldainya. Malaikat TUHAN maju lagi dan berdiri di tempat yang lebih sempit, sehingga tidak ada jalan untuk menyimpang ke kanan atau ke kiri. Kali ini, ketika keldai itu nampak malaikat TUHAN, keldai itu merebahkan badan. Bileam naik marah lalu memukul keldai itu dengan tongkatnya. Kemudian TUHAN membolehkan keldai itu bercakap, lalu keldai itu berkata kepada Bileam, “Apakah kesalahan saya? Mengapakah tuan memukul saya sampai tiga kali?” Bileam menjawab, “Oleh sebab engkau mempermainkan aku! Jika aku mempunyai sebilah pedang, sudah pasti aku membunuh engkau.” Keldai itu menjawab, “Bukankah tuan menunggangi saya seumur hidup tuan? Pernahkah saya memperlakukan tuan begini?” “Tidak,” jawab Bileam. Kemudian TUHAN membolehkan Bileam melihat malaikat TUHAN yang berdiri di situ dengan pedang terhunus, lalu Bileam sujud menyembah. Malaikat itu berkata, “Mengapakah engkau memukul keldaimu sampai tiga kali? Akulah yang menghalangi perjalananmu, kerana engkau tidak seharusnya pergi. Tetapi keldaimu nampak aku dan keldai itu minggir tiga kali. Jika tidak, aku pasti membunuh engkau dan membiarkan keldaimu hidup.” Bileam menjawab, “Saya sudah berdosa. Saya tidak tahu bahawa tuan berdiri di hadapan untuk menghalangi saya. Jika pada pendapat tuan, saya tidak seharusnya pergi, baiklah saya pulang.” Tetapi malaikat TUHAN berkata, “Pergilah bersama-sama semua orang ini, tetapi hanya katakan apa yang aku suruh engkau katakan.” Oleh itu Bileam meneruskan perjalanannya bersama-sama semua orang itu. Apabila Raja Balak mendengar bahawa Bileam datang, baginda pergi berjumpa dengan dia di Ar, kota di pinggir Sungai Arnon di sempadan tanah Moab. Raja Balak bertitah kepada Bileam, “Ketika beta memanggil kamu pada kali yang pertama, mengapakah kamu tidak datang? Adakah kamu menyangka bahawa beta tidak sanggup membayar upahmu?” Bileam menjawab, “Sekarang hamba sudah datang, tetapi hamba tidak berhak mengatakan apa pun kecuali yang diperintahkan oleh Allah.” Kemudian Bileam pergi bersama-sama Raja Balak ke kota Huzot. Di situ Raja Balak menyembelih beberapa ekor lembu dan domba sebagai korban. Raja Balak memberikan sebahagian daripada daging itu kepada Bileam dan para pemimpin yang bersama dengan baginda. Keesokan paginya Raja Balak membawa Bileam pergi ke Bamot-Baal. Di situ Bileam dapat melihat sebahagian daripada umat Israel.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami