TUHAN menjawab, “Aku akan mengampuni mereka menurut permintaanmu. Tetapi Aku berjanji demi diri-Ku dan demi Aku yang hidup dan berkuasa di bumi ini, bahawa tiada seorang pun antara umat ini akan pergi ke tanah itu. Mereka sudah nampak cahaya hadirat-Ku dan mukjizat yang Aku lakukan di Mesir dan di padang gurun, namun mereka terus-menerus mencubai Aku, dan tidak mahu mentaati Aku. Mereka tidak sekali-kali akan pergi ke tanah yang Aku janjikan kepada nenek moyang mereka. Tidak seorang pun yang melawan Aku akan pergi ke sana. Tetapi sikap Kaleb, hamba-Ku itu lain; dia tetap setia kepada-Ku. Oleh itu Aku akan membawa dia ke tanah yang dijelajahinya. Keturunannya akan memiliki tanah yang kawasan lembahnya diduduki oleh orang Amalek dan orang Kanaan pada masa ini. Esok kamu harus berpatah balik dan pergi ke padang gurun ke arah Teluk Akaba.” TUHAN berfirman kepada Musa dan Harun, “Sampai bilakah umat yang jahat ini bersungut terhadap Aku? Aku sudah mendengar semua sungutan mereka! Sekarang berilah mereka jawapan begini, ‘Aku bersumpah demi Aku yang hidup, bahawa Aku akan melakukan tepat seperti yang kamu minta. Aku, TUHAN, sudah berfirman. Kamu akan mati dan mayat kamu akan berselerak di seluruh padang gurun ini. Oleh sebab kamu bersungut terhadap Aku, tiada seorang pun di kalangan kamu yang berumur dua puluh tahun ke atas akan pergi ke tanah itu. Aku sudah berjanji membenarkan kamu tinggal di tanah itu, tetapi tidak seorang pun antara kamu akan tinggal di situ kecuali Kaleb dan Yosua. Kamu berkata bahawa anak-anak kamu akan ditawan, tetapi merekalah yang akan Kubawa ke tanah yang kamu tolak. Tanah itu akan menjadi tempat tinggal mereka, tetapi kamu akan mati di padang gurun ini. Anak-anak kamu akan mengembara di padang gurun selama empat puluh tahun. Kerana kamu tidak setia, anak-anak kamu itu akan sengsara, sehingga kamu semua mati. Kamu akan menanggung akibat dosa kamu selama empat puluh tahun, satu tahun untuk setiap hari daripada empat puluh hari yang kamu gunakan untuk menjelajahi tanah itu. Barulah kamu tahu bagaimana rasanya apabila Aku menentang kamu. Aku bersumpah akan melakukan hal ini kepada kamu, umat jahat yang berkomplot untuk melawan Aku. Kamu semua akan mati di padang gurun ini. Aku, TUHAN telah berfirman.’ ” Orang yang diutus oleh Musa untuk menjelajahi tanah itu memberikan laporan yang tidak benar, dan hal itu menyebabkan umat Israel bersungut terhadap TUHAN. Oleh itu TUHAN menghukum mereka dengan penyakit, lalu mereka meninggal. Hanya Yosua dan Kaleb yang masih hidup di kalangan dua belas orang pengintip itu.
Baca BILANGAN 14
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: BILANGAN 14:20-38
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video