BILANGAN 14:1-20

BILANGAN 14:1-20 BM

Sepanjang malam orang Israel menangis kerana cemas. Mereka bersungut kepada Musa dan Harun, serta berkata, “Lebih baik kami mati di Mesir atau di padang gurun ini! Mengapakah TUHAN hendak membawa kami ke tanah itu? Kami akan mati dalam peperangan, dan anak isteri kami akan ditawan. Tidakkah lebih baik kami balik ke Mesir?” Oleh itu mereka bercakap kepada satu sama lain, “Marilah kita pilih seorang pemimpin, lalu balik ke Mesir!” Kemudian Musa dan Harun bersujud di hadapan semua orang itu. Yosua anak Nun dan Kaleb anak Yefune, dua orang antara pengintip itu, mengoyakkan pakaian mereka sebagai tanda bersedih. Mereka berkata kepada umat itu, “Tanah yang kami jelajahi itu sangat baik. Jika TUHAN berkenan kepada kita, Dia akan membawa kita ke sana dan memberi kita tanah yang kaya dan subur itu. Janganlah berontak terhadap TUHAN, dan janganlah takut kepada penduduk tanah itu. Kita akan mengalahkan mereka dengan mudah. TUHAN menyertai kita, dan Dia sudah mengalahkan pelindung mereka; oleh itu janganlah takut.” Segenap umat Israel mengancam untuk merejam Yosua dan Kaleb sampai mati, tetapi tiba-tiba umat itu nampak cahaya hadirat TUHAN muncul di atas Khemah-Nya. TUHAN berfirman kepada Musa, “Berapa lama lagi umat ini melawan Aku? Sampai bilakah mereka tidak mahu percaya kepada-Ku, walaupun Aku sudah mengadakan begitu banyak mukjizat di kalangan mereka? Aku akan mendatangkan wabak dan membinasakan mereka, tetapi Aku akan menjadikan engkau bapa suatu bangsa yang lebih besar dan lebih kuat daripada mereka!” Tetapi Musa berkata kepada TUHAN, “Ya TUHAN, Engkaulah yang sudah membawa umat ini keluar dari Mesir dengan kuasa-Mu. Apabila orang Mesir mendengar apa yang Engkau lakukan kepada umat-Mu, mereka akan memberitahukan hal itu kepada penduduk tanah ini, sedangkan mereka sudah mendengar bahawa Engkau, TUHAN, menyertai kami. Mereka sudah mendengar bahawa Engkau menampakkan diri apabila awan-Mu berhenti di atas kami, dan bahawa Engkau berjalan di hadapan kami dalam tiang awan pada siang hari, dan dalam tiang api pada malam hari. Jika Engkau membunuh segenap umat-Mu sekarang, bangsa-bangsa yang pernah mendengar tentang kemasyhuran-Mu akan berkata bahawa Engkau membunuh umat-Mu di padang gurun kerana Engkau tidak sanggup membawa mereka ke tanah yang sudah Engkau janjikan kepada mereka. Oleh itu, ya TUHAN, sekarang aku mohon, tunjukkanlah kuasa-Mu dan lakukanlah apa yang Engkau janjikan ketika Engkau berfirman, ‘Aku, TUHAN, tidak cepat murka. Aku menunjukkan kasih dan kesetiaan-Ku yang besar. Aku mengampuni orang yang berdosa dan yang melawan Aku. Biarpun begitu, dosa ibu bapa akan Kubalaskan kepada anak cucu mereka, sampai kepada generasi yang ketiga dan keempat.’ Oleh itu ya TUHAN, ampunkanlah dosa umat ini, kerana kasih-Mu besar dan tidak berubah, sebagaimana Engkau telah mengampuni mereka sejak mereka meninggalkan Mesir.” TUHAN menjawab, “Aku akan mengampuni mereka menurut permintaanmu.