NEHEMIA 9:9, 13-21

NEHEMIA 9:13-21 BM

Dari langit Engkau turun ke Gunung Sinai; Engkau berfirman kepada umat-Mu sendiri. Engkau memberi mereka hukum, peraturan, dan perintah yang adil, benar, dan berfaedah. Engkau mengajar mereka merayakan hari Sabat yang suci itu, dan melalui hamba-Mu Musa, Engkau memberi mereka hukum-Mu. Apabila mereka lapar, roti dari langit Engkau turunkan, apabila mereka dahaga, air dari batu Engkau pancarkan. Engkau menyuruh mereka menguasai tanah yang telah Engkau janjikan kepada mereka. Tetapi nenek moyang kami keras kepala dan angkuh, mereka tidak mentaati perintah-Mu. Mereka tidak mahu patuh; mereka melupakan segala perbuatan-Mu, dan semua mukjizat yang sudah Engkau lakukan itu. Dengan angkuh mereka memilih seorang ketua, untuk membawa mereka ke Mesir, dan menjadi hamba semula. Tetapi Engkau Allah yang mengampuni; Engkau panjang sabar, berbelas kasihan, dan pengasih; Rahmat-Mu besar, dan Engkau tidak meninggalkan mereka. Mereka membuat berhala berbentuk anak lembu, lalu berkata bahawa berhala itu memimpin mereka keluar dari Mesir. Ya TUHAN, mereka sangat menghina Engkau. Namun Engkau tidak meninggalkan mereka di padang pasir, kerana rahmat-Mu sungguh besar! Engkau tidak mengambil balik tiang awan atau tiang api yang menunjukkan jalan kepada mereka pada siang dan malam hari. Demi kebaikan-Mu, Engkau memberitahu mereka apa yang harus dilakukan; Engkau memberi mereka manna sebagai makanan, Engkau memberi mereka air sebagai minuman. Selama empat puluh tahun di padang gurun, Engkau memberi mereka segala yang diperlukan. Pakaian mereka tidak pernah rosak, dan kaki mereka tidak sakit atau bengkak.