NEHEMIA 2:1-8

NEHEMIA 2:1-8 BM

Pada suatu hari, empat bulan kemudian, iaitu pada bulan Nisan, ketika Raja Artahsasta sedang makan, aku menghidangkan wain kepadanya. Sebelum itu, raja belum pernah nampak aku bersedih. Oleh itu raja bertanya, “Mengapa engkau kelihatan sangat sedih? Engkau tidak sakit; tentu ada perkara yang menyusahkan hatimu.” Aku terperanjat, lalu menjawab, “Daulat tuanku! Mana mungkin hamba tidak bersedih, apabila kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan sedang dalam keadaan reruntuhan, dan pintu-pintu gerbangnya musnah dimakan api?” Raja bertanya, “Kalau begitu, apakah keinginanmu?” Aku berdoa dalam hati kepada Allah penguasa di syurga, lalu aku berkata kepada raja, “Jika tuanku berkenan, dan tuanku sudi mengabulkan permohonan hamba, benarkanlah hamba pergi ke negeri Yehuda, kota tempat nenek moyang hamba dikuburkan, supaya hamba dapat membina semula kota itu.” Raja, yang duduk bersama dengan permaisuri di sisinya, mengabulkan permohonanku. Raja bertanya berapa lama aku akan tinggal di sana, dan bila aku akan kembali. Aku pun memberitahu raja masanya aku akan kembali. Selepas itu aku memohon supaya raja memberi aku beberapa pucuk surat bagi gabenor-gabenor di Wilayah Efrat Barat, supaya mereka membenarkan aku pergi ke Yehuda. Selain itu, aku juga meminta surat bagi Asaf, pengawas hutan diraja, supaya dia memberi aku kayu balak bagi pintu gerbang kubu yang menjadi pertahanan Rumah TUHAN, dan bagi tembok kota, serta rumah yang akan kudiami. Raja mengabulkan semua permohonanku itu kerana Allah menyertai aku.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami