MARKUS 8:1-21

MARKUS 8:1-21 BM

Tidak lama kemudian, ada lagi orang ramai datang berkumpul. Apabila mereka kehabisan makanan, Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya dan berkata, “Aku kasihan kepada orang ramai ini. Sudah tiga hari mereka bersama-sama Aku, dan sekarang mereka kehabisan makanan. Jika Aku menyuruh mereka pulang dengan perut kosong, mereka akan pengsan di tengah jalan, kerana ada antara mereka yang datang dari jauh.” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya, “Di tempat terpencil ini, di manakah orang boleh mendapat cukup makanan untuk semua orang ini?” Yesus bertanya kepada mereka, “Berapa banyak roti yang ada pada kamu?” “Tujuh ketul,” jawab mereka. Yesus menyuruh orang ramai duduk di atas tanah. Lalu Dia mengambil tujuh ketul roti itu dan mengucap syukur kepada Allah. Kemudian Dia membahagikan roti itu, lalu menyerahkannya kepada para pengikut-Nya untuk diberikan kepada orang ramai. Pengikut-Nya pun berbuat demikian. Mereka juga mempunyai beberapa ekor ikan kecil. Yesus mengucap syukur kepada Allah bagi ikan itu, lalu menyuruh pengikut-Nya membahagi-bahagikan ikan itu juga. Semua orang makan sehingga kenyang - ada kira-kira empat ribu orang di situ. Selepas itu pengikut-pengikut Yesus mengumpulkan lebihan roti dan ikan sebanyak tujuh buah bakul. Kemudian Yesus menyuruh orang ramai pulang. Sesudah itu Dia segera menaiki perahu bersama-sama para pengikut-Nya, lalu pergi ke daerah Dalmanuta. Beberapa orang Farisi datang kepada Yesus dan mula bersoal jawab dengan Dia. Mereka hendak memerangkap Dia. Mereka meminta Yesus melakukan mukjizat untuk membuktikan bahawa Dia datang daripada Allah. Yesus mengeluh lalu menjawab, “Mengapakah orang zaman ini meminta Aku melakukan mukjizat? Tidak! Tanda semacam itu tidak akan diberikan kepada mereka!” Yesus meninggalkan mereka, lalu kembali ke perahu dan mula menyeberangi tasik. Pengikut Yesus lupa membawa roti yang cukup. Mereka hanya mempunyai seketul roti di perahu. Yesus memperingatkan mereka, “Berhati-hatilah dengan ragi orang Farisi dan ragi Herodes.” Mereka mula mempersoalkan hal itu. Mereka berkata, “Dia berkata demikian kerana kita tidak membawa roti.” Yesus mengetahui apa yang dipersoalkan mereka. Oleh itu Dia bertanya kepada mereka, “Mengapa kamu mempersoalkan hal tidak membawa roti? Tidakkah kamu tahu dan faham juga? Adakah fikiran kamu sedemikian tumpul? Kamu mempunyai mata, mengapa tidak dapat melihat? Kamu mempunyai telinga, mengapa tidak dapat mendengar? Tidakkah kamu ingat bagaimana Aku membahagikan lima ketul roti untuk lima ribu orang? Berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Dua belas.” Yesus bertanya lagi, “Ketika Aku membahagikan tujuh ketul roti untuk empat ribu orang, berapa buah bakul lebihan makanan yang kamu kumpulkan?” Mereka menjawab, “Tujuh.” Yesus berkata, “Dan kamu masih belum faham juga?”