YouVersion Logo
Search Icon

MARKUS 7:24, 25, 26, 27, 28, 29, 30, 31, 32, 33, 34, 35, 36, 37

MARKUS 7:24 BM

Kemudian Yesus meninggalkan tempat itu lalu pergi ke kawasan dekat kota Tirus. Dia masuk ke dalam sebuah rumah. Dia tidak mahu orang tahu bahawa Dia di situ, tetapi Dia tidak dapat menyembunyikan diri.

MARKUS 7:25 BM

Seorang ibu, yang anak perempuannya dirasuk roh jahat mendengar perihal Yesus. Dia segera datang kepada-Nya lalu sujud di hadapan-Nya.

MARKUS 7:26 BM

Wanita itu bukan orang Yahudi dan dia dilahirkan di daerah Fenisia di Siria. Dia memohon supaya Yesus mengusir roh jahat yang merasuk anaknya.

MARKUS 7:27 BM

Tetapi Yesus menjawab, “Anak-anak harus diberikan makanan terlebih dahulu, kerana tidak patut kita mengambil makanan mereka lalu melemparkannya kepada anjing.”

MARKUS 7:28 BM

“Tuan,” jawab wanita itu, “anjing di bawah meja pun makan sisa yang dijatuhkan oleh anak-anak!”

MARKUS 7:29 BM

Yesus berkata kepadanya, “Kerana jawapanmu itu, pulanglah; roh jahat sudah keluar daripada anak perempuanmu!”

MARKUS 7:30 BM

Ketika ibu itu tiba di rumah, dia mendapati anaknya terbaring di katil, dan roh jahat benar-benar sudah keluar daripada anak itu.

MARKUS 7:31 BM

Kemudian Yesus meninggalkan daerah sekitar Tirus dan meneruskan perjalanan ke Tasik Galilea melalui Sidon. Dia melalui daerah Sepuluh Kota.

MARKUS 7:32 BM

Di situ beberapa orang membawa seorang tuli yang ada kecacatan pertuturan, kepada-Nya. Mereka memohon supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada orang itu.

MARKUS 7:33 BM

Yesus membawa dia ke tepi, jauh dari orang ramai, lalu memasukkan jari-Nya ke dalam kedua-dua belah telinga orang itu. Setelah itu Yesus meludah dan menjamah lidah orang itu.

MARKUS 7:34 BM

Kemudian Yesus menengadah ke langit dan menarik nafas panjang. Lalu Dia berkata kepada orang itu, “Effata,” yang bererti, “Terbukalah!”

MARKUS 7:35 BM

Seketika itu juga telinga orang itu terbuka, lidahnya pulih, lalu dia mula bercakap dengan mudah.

MARKUS 7:36 BM

Selepas itu Yesus melarang mereka menceritakan hal itu kepada sesiapa pun. Tetapi semakin Yesus melarang, semakin mereka menceritakannya.

MARKUS 7:37 BM

Semua orang yang mendengar hal itu sangat hairan. Mereka berkata, “Sungguh baik perbuatannya! Dia pun dapat membuat orang tuli mendengar dan orang bisu bercakap!”