Beberapa orang Farisi dan guru Taurat yang datang dari Yerusalem, berkumpul di sekeliling Yesus. Mereka melihat beberapa orang pengikut Yesus makan dengan tangan yang tidak bersih menurut agama, iaitu tanpa terlebih dahulu membasuh tangan menurut peraturan agama Yahudi.
Baik orang Farisi mahupun orang Yahudi lain, semuanya menurut adat istiadat nenek moyang. Mereka tidak akan makan sebelum membasuh tangan menurut cara-cara yang ditetapkan. Makanan yang dibeli di pasar tidak akan dimakan, sebelum dibasuh terlebih dahulu. Banyak lagi peraturan lain yang diamalkan oleh mereka, seperti cara membasuh cawan, mangkuk, dan periuk tembaga.
Oleh itu semua orang Farisi dan guru Taurat di situ bertanya kepada Yesus, “Mengapakah pengikutmu tidak menurut adat istiadat nenek moyang kita? Mengapakah mereka makan dengan tangan yang tidak dibasuh?”
Yesus menjawab, “Tepat sekali apa yang dikatakan oleh Nabi Yesaya, tatkala dia bernubuat tentang kamu! Kamu munafik, seperti yang dituliskan oleh Yesaya di dalam kitabnya,
‘Demikianlah firman Allah:
Semua orang ini menghormati Aku dengan kata-kata,
tetapi hati mereka sebenarnya jauh daripada-Ku.
Sia-sialah mereka menyembah Aku,
kerana peraturan manusia diajarkan oleh mereka
seolah-olah peraturan itu hukum Allah!’
Kamu tidak mempedulikan perintah Allah supaya kamu dapat menurut ajaran manusia.”
Yesus berkata pula, “Cerdik sekali cara kamu menolak perintah Allah untuk mempertahankan ajaran kamu sendiri. Musa memberikan perintah ini, ‘Hormatilah ibu bapamu,’ dan ‘Orang yang mencaci ibu bapa mesti dihukum mati.’ Tetapi kamu memberikan ajaran berikut: Jika seseorang berkata kepada ibu bapanya, ‘Apa yang seharusnya saya gunakan untuk menolong ayah dan emak, sudah saya jadikan Korban. Semuanya sudah saya persembahkan kepada Allah.’ Maka orang itu tidak payah menolong ibu bapanya. Dengan jalan ini ajaran yang kamu sampaikan kepada orang lain, meniadakan firman Allah. Banyak lagi perkara seperti ini yang kamu lakukan.”
Lalu sekali lagi Yesus memanggil orang ramai itu dan berkata kepada mereka, “Dengarlah supaya kamu mengerti! Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang, dapat menajiskan dia. Sebaliknya, apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia. [ Oleh itu, jika kamu bertelinga, dengarlah!]”
Apabila Yesus meninggalkan orang ramai lalu masuk ke rumah, pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada-Nya tentang perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu ini sama dengan mereka. Tidakkah kamu mengerti? Tiada sesuatu pun dari luar yang masuk ke dalam seseorang dapat menajiskan dia, kerana apa yang masuk itu tidak ke dalam hati, melainkan ke dalam perut, lalu keluar lagi.” Dengan kata-kata ini Yesus menyatakan bahawa semua makanan boleh dimakan.
Yesus berkata lagi, “Apa yang keluar daripada seseorang menajiskan dia, kerana dari hatilah timbul fikiran jahat yang menyebabkan orang berbuat cabul, merompak, membunuh, berzina, tamak; melakukan segala perkara yang jahat, seperti menipu, berbuat yang tidak senonoh, cemburu, memfitnah, sombong, dan tidak berbudi pekerti. Semua perkara jahat ini timbul dari dalam dan hal itulah yang menajiskan orang.”