Dahulu Raja Herodes memberikan perintah supaya Yohanes ditangkap, diikat lalu dimasukkan ke dalam penjara. Raja Herodes berbuat demikian kerana Herodias, yang telah dikahwininya walaupun sebenarnya wanita itu isteri Filipus, saudara Raja Herodes. Yohanes selalu menegur Raja Herodes, katanya, “Tuanku bersalah kerana berkahwin dengan isteri saudara tuanku!” Itulah sebabnya Herodias menaruh dendam terhadap Yohanes dan ingin membunuh dia. Tetapi Herodias tidak dapat melakukan hal itu kerana dihalang oleh Raja Herodes. Raja Herodes takut akan Yohanes kerana Raja Herodes tahu bahawa Yohanes seorang yang baik dan diutus oleh Allah. Oleh itu Raja Herodes menjaga keselamatan Yohanes. Raja Herodes suka mendengar kata-kata Yohanes, meskipun kata-katanya membuat Raja Herodes sangat gelisah. Akhirnya Herodias mendapat peluang pada hari keputeraan Raja Herodes. Raja Herodes mengadakan jamuan untuk semua pegawai tinggi kerajaan, pegawai tentera, dan tokoh-tokoh masyarakat Galilea. Anak perempuan Herodias menari dan menghiburkan hati Raja Herodes serta tetamunya. Oleh itu Raja Herodes bertitah kepada anak gadis itu, “Anakanda ingin apa? Ayahanda akan memberikan apa sahaja yang anakanda ingini!” Lalu Raja Herodes berjanji kepada gadis itu dengan sumpah. Raja Herodes bertitah, “Ayahanda berjanji memberikan apa sahaja yang anakanda minta, bahkan separuh daripada kerajaan ayahanda sekalipun!” Oleh itu gadis itu keluar dan bertanya kepada ibunya, “Apakah yang sebaiknya saya minta?” Ibunya menjawab, “Mintalah kepala Yohanes Pembaptis.” Gadis itu segera kembali kepada Raja Herodes dan berkata, “Anakanda minta ayahanda memberi anakanda kepala Yohanes Pembaptis di atas talam sekarang juga!” Setelah mendengar permintaan itu, Raja Herodes sangat berdukacita. Tetapi Raja Herodes tidak dapat menolak permintaan itu kerana telah berjanji dengan sumpah di hadapan semua tetamunya. Lalu Raja Herodes memberikan perintah kepada askarnya untuk mengambil kepala Yohanes Pembaptis. Askar itu meninggalkan istana, pergi ke penjara lalu memancung kepala Yohanes. Kemudian kepala itu diletakkannya di atas talam, dibawanya ke istana, dan diserahkannya kepada gadis itu. Lalu gadis itu menyerahkan kepala Yohanes kepada ibunya. Apabila pengikut Yohanes mendengar hal itu, mereka mengambil jenazah Yohanes dan mengebumikannya.
Baca MARKUS 6
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MARKUS 6:17-29
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video