MARKUS 4:1-13

MARKUS 4:1-13 BM

Yesus mula mengajar lagi di tepi Tasik Galilea. Orang yang mengerumuni-Nya begitu banyak sehingga Dia terpaksa duduk di sebuah perahu di tasik itu. Orang ramai berdiri di tepi tasik. Yesus mengajar banyak perkara kepada mereka dengan menggunakan perumpamaan. Dia berkata, “Dengarlah! Seorang peladang pergi menabur benih. Semasa dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Lalu burung datang dan makan habis benih itu. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu yang sedikit tanahnya. Benih-benih ini segera tumbuh kerana kurang tanah, tetapi apabila matahari naik, tunas-tunas itu layu, lalu kering. Tumbuhan itu mati kerana akarnya tidak dalam. Ada pula yang jatuh di tengah semak berduri. Semak berduri ini tumbuh dan membantutkan tumbuhan tersebut sehingga tidak berbuah. Tetapi ada benih yang jatuh di tanah subur. Benih-benih itu bertunas, membesar, lalu berbuah. Ada yang tiga puluh kali ganda, ada yang enam puluh kali ganda, dan ada yang seratus kali ganda hasilnya.” Lalu Yesus berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Apabila Yesus sendirian, beberapa orang yang telah mendengar ajaran-Nya datang kepada-Nya bersama dengan dua belas orang pengikut-Nya. Mereka meminta Yesus menerangkan erti perumpamaan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi orang luar akan mendengar segalanya melalui perumpamaan supaya, ‘Mereka akan melihat dan melihat, tetapi tidak nampak, mereka akan mendengar dan mendengar, tetapi tidak faham, kerana jika mereka memahaminya, mereka akan kembali kepada Allah dan Dia akan mengampuni mereka.’ ” Kemudian Yesus bertanya kepada mereka, “Jika kamu tidak memahami perumpamaan ini, bagaimanakah kamu dapat memahami perumpamaan yang lain?