MARKUS 15:1-21

MARKUS 15:1-21 BM

Pada pagi-pagi sekali, para ketua imam, pemimpin masyarakat Yahudi, guru Taurat, dan anggota-anggota lain daripada Majlis Agama bermesyuarat untuk membuat beberapa rancangan. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus. Pilatus bertanya kepada Yesus, “Betulkah kamu raja orang Yahudi?” Yesus menjawab, “Begitulah yang tuan katakan.” Ketua-ketua imam melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus. Lalu Pilatus bertanya lagi kepada Yesus, “Tidak mahukah kamu menjawab? Lihatlah betapa banyaknya tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu!” Sekali lagi Yesus tidak mahu menjawab sepatah pun, sehingga Pilatus merasa hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, Pilatus biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu, seorang bernama Barabas ada di dalam penjara bersama dengan semua pemberontak lain yang telah melakukan pembunuhan pada masa kerusuhan. Ketika orang ramai berkumpul dan seperti biasa mula meminta Pilatus membebaskan seorang tahanan, Pilatus bertanya kepada mereka, “Adakah kamu mahu aku membebaskan raja orang Yahudi ini?” Pilatus tahu betul bahawa ketua-ketua imam telah menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Tetapi para ketua imam menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas. Pilatus berkata lagi kepada orang ramai itu, “Jika demikian, apakah yang kamu ingin aku lakukan terhadap orang yang kamu sebut raja orang Yahudi?” Mereka berteriak, “Salibkan dia!” Pilatus bertanya, “Tetapi kejahatan apa yang sudah dilakukannya?” Mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Pilatus hendak menyenangkan hati orang ramai, maka dia membebaskan Barabas untuk mereka. Kemudian dia menyuruh orang mencambuk Yesus dan menyerahkan Dia kepada askar supaya disalib. Askar-Askar membawa Yesus ke balai istana gabenor dan mengumpulkan semua askar yang lain. Mereka memakaikan jubah ungu pada Yesus, serta membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri lalu meletakkannya pada kepala Yesus. Setelah itu mereka memberikan hormat kepada-Nya, “Daulat raja orang Yahudi!” Mereka memukul kepala-Nya dengan kayu, meludahi-Nya serta sujud di hadapan-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah ungu itu lalu mengenakan pakaian-Nya semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Di tengah jalan mereka berjumpa dengan seorang bernama Simon. Dia baru datang dari kampung dan sedang memasuki bandar. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. (Simon berasal dari Kirene; dia bapa Aleksander dan Rufus.)