MARKUS 14:22-42

MARKUS 14:22-42 BM

Ketika mereka sedang makan, Yesus mengambil roti dan mengucap syukur kepada Allah, lalu membahagikan roti itu. Kemudian Dia memberikan roti itu kepada pengikut-pengikut-Nya sambil berkata, “Ambillah dan makanlah, ini tubuh-Ku.” Kemudian Dia mengambil sebuah cawan berisi wain. Dia mengucap syukur kepada Allah, lalu memberikan cawan itu kepada pengikut-pengikut-Nya. Kemudian mereka semua minum dari cawan itu. Yesus berkata, “Inilah darah-Ku yang dicurahkan untuk banyak orang, darah yang mengesahkan perjanjian Allah. Percayalah, Aku tidak akan minum wain ini lagi sehingga hari itu apabila Aku minum wain baru di Dunia Baru Bapa-Ku.” Setelah mereka menyanyikan sebuah nyanyian pujian, mereka pergi ke Bukit Zaitun. Yesus berkata kepada mereka, “Kamu semua akan lari meninggalkan Aku, kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Allah akan membunuh gembala itu, lalu kawanan dombanya akan tercerai-berai.’ Tetapi setelah Aku dibangkitkan semula, Aku akan pergi ke Galilea lebih dahulu daripada kamu.” Petrus menjawab, “Meskipun semua yang lain meninggalkan Guru, saya tidak akan berbuat begitu.” Yesus berkata kepadanya, “Ingatlah, sebelum ayam berkokok dua kali malam ini, tiga kali engkau akan berkata bahawa engkau tidak mengenal Aku.” Petrus menjawab dengan lebih tegas, “Tidak sekali-kali saya akan berkata saya tidak mengenal Guru, meskipun saya terpaksa mati bersama-sama Guru!” Semua pengikut yang lain pun berkata demikian. Mereka tiba di satu tempat bernama Getsemani. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Duduklah di sini sementara Aku berdoa.” Kemudian Dia mengajak Petrus, Yakobus, dan Yohanes pergi bersama-sama Dia. Yesus sangat sedih dan gelisah. Dia berkata kepada mereka, “Hati-Ku sedih sekali sehingga Aku hendak mati rasanya. Tinggallah di sini dan berjagalah!” Yesus pergi lebih jauh sedikit lalu meniarap di tanah dan berdoa supaya jika boleh Dia tidak usah mengalami saat penderitaan itu. Dia berdoa, “Bapa, ya Bapa-Ku! Tidak ada satu perkara yang mustahil bagi Bapa. Jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku. Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak Bapa sahaja.” Selepas itu Yesus kembali dan mendapati tiga orang pengikut-Nya sedang tidur. Dia berkata kepada Petrus, “Simon, tidurkah engkau? Tidak dapatkah engkau berjaga selama satu jam?” Lalu Dia berkata kepada mereka semua, “Berjaga-jagalah dan berdoalah supaya kamu tidak mengalami cubaan. Memang roh kamu ingin melakukan apa yang benar, tetapi kamu tidak sanggup kerana kamu lemah.” Sekali lagi Yesus pergi berdoa dan mengucapkan kata-kata yang sama. Ketika Dia kembali kepada pengikut-pengikut-Nya, Dia mendapati mereka masih tidur kerana terlalu mengantuk. Mereka tidak tahu akan apa yang harus dikatakan kepada Yesus. Ketika Yesus kembali untuk kali ketiga, Dia berkata kepada mereka, “Masihkah kamu tidur dan berehat? Cukuplah! Saatnya sudah tiba. Lihatlah, Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan orang berdosa. Bangunlah, marilah kita pergi. Lihatlah, orang yang mengkhianati Aku sudah datang!”