MARKUS 11:12-26

MARKUS 11:12-26 BM

Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!” Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!” Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [ Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]”

Video untuk MARKUS 11:12-26