MARKUS 11:1-26

MARKUS 11:1-26 BM

Ketika mendekati Yerusalem, mereka sampai ke kota Betfage dan Betania, di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke kampung yang di hadapan itu. Apabila kamu tiba di situ kamu akan nampak seekor anak keldai yang terikat, yang belum pernah ditunggangi orang. Lepaskanlah dan bawalah keldai itu ke sini. Jika ada orang bertanya kepada kamu ‘Mengapa kamu melepaskan keldai ini?’ katakanlah, ‘Guru memerlukannya dan segera akan mengembalikannya.’ ” Pengikut-pengikut itu pergi dan mendapati seekor anak keldai yang terikat pada pintu sebuah rumah di pinggir jalan, lalu mereka melepaskannya. Beberapa orang yang berdiri di situ bertanya kepada mereka, “Apa yang kamu lakukan? Mengapa kamu melepaskan keldai ini?” Mereka menjawab seperti yang diarahkan oleh Yesus, lalu orang di situ pun membiarkan mereka pergi. Mereka membawa anak keldai itu kepada Yesus, lalu mengalas punggung keldai itu dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat dahan-dahan di ladang lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang mula berseru-seru, “Pujilah Allah! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan. Diberkatilah pemerintahan-Nya yang akan datang - pemerintahan Daud nenek moyang kita! Pujilah Allah!” Yesus masuk ke Yerusalem, lalu pergi ke Rumah Tuhan sambil memandang di sekeliling-Nya. Tetapi kerana hari sudah petang, Dia pergi bersama-sama dua belas orang pengikut-Nya ke Betania. Esoknya, ketika mereka balik dari Betania, Yesus lapar. Dari jauh Dia nampak sebatang pokok ara yang lebat daunnya. Yesus mendekati pokok itu untuk melihat sama ada pokok itu berbuah. Tetapi apabila Dia tiba di pokok itu, Dia mendapati daun-daun sahaja, kerana pada masa itu belum musim buah ara. Yesus berkata kepada pokok ara itu, “Tiada sesiapa pun akan makan buah ara daripadamu lagi!” Pengikut-pengikut-Nya mendengar kata-kata Yesus itu. Ketika mereka tiba di Yerusalem, Yesus pergi ke Rumah Tuhan lalu mula mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Dia tidak membenarkan orang membawa apa-apa pun melalui halaman Rumah Tuhan. Kemudian Dia mengajar orang ramai di situ. Dia berkata, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa untuk semua bangsa!’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Para ketua imam dan guru Taurat mendengar kata-kata itu. Oleh itu mereka mula mencari jalan untuk membunuh Yesus. Mereka takut akan Dia, kerana semua orang kagum mendengar ajaran-Nya. Menjelang malam, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan kota itu. Pada keesokan paginya, ketika mereka melewati pokok ara itu, mereka melihat pokok itu sudah mati sehingga ke akar-akarnya. Petrus teringat akan apa yang telah berlaku. Dia berkata kepada Yesus, “Guru, lihatlah, pokok ara yang Guru kutuki sudah mati!” Yesus menjawab, “Percayalah kepada Allah. Maka kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Terangkatlah dan terbuanglah ke dalam laut!’ Jika kamu tidak ragu-ragu, tetapi percaya bahawa apa yang kamu katakan itu akan berlaku, perkara itu pun akan dilakukan untuk kamu. Oleh itu ingatlah: Apabila kamu berdoa dan minta sesuatu, percayalah bahawa kamu telah menerimanya, kerana apa sahaja yang kamu minta akan diberikan kepada kamu. Apabila kamu berdiri untuk berdoa, ampunkanlah kesalahan sesiapa pun, supaya Bapa kamu yang di syurga juga akan mengampunkan dosa kamu. [ Jika kamu tidak mengampuni orang lain, Bapa kamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan dosa kamu.]”

Video untuk MARKUS 11:1-26