MARKUS 1:21-45

MARKUS 1:21-45 BM

Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di kota Kapernaum. Pada hari Sabat berikutnya, Yesus pergi ke rumah ibadat dan mula mengajar. Semua orang yang mendengarkan Dia kagum dengan cara Dia mengajar, kerana Dia mengajar dengan kewibawaan, tidak seperti guru Taurat. Pada waktu itu seorang yang dirasuk roh jahat masuk ke dalam rumah ibadat dan berseru, “Engkau mahu buat apa dengan kami, hai Yesus, orang Nasaret? Adakah Engkau mahu membinasakan kami? Aku tahu siapa Engkau: Engkau utusan yang suci daripada Allah!” Yesus menengking roh itu, “Diam! Keluarlah daripada orang ini!” Roh jahat itu menggoncangkan badan orang itu kuat-kuat, lalu keluar dari orang itu sambil berteriak. Semua orang sangat hairan sehingga mereka bercakap sesama sendiri, “Apakah ini suatu ajaran baru? Orang ini berkuasa memerintah roh jahat dan roh jahat taat kepada-Nya!” Demikianlah berita tentang Yesus tersebar dengan cepat ke seluruh negeri Galilea. Yesus dan pengikut-Nya, termasuk Yakobus dan Yohanes, meninggalkan rumah ibadat itu lalu terus pergi ke rumah Simon dan Andreas. Ibu mentua Simon sedang terbaring di tempat tidur kerana demam. Apabila Yesus tiba di situ, Dia diberitahukan hal itu. Yesus menghampiri ibu mentua Simon, memegang tangannya lalu menolong dia bangun. Demamnya hilang dan dia pun mula melayani mereka. Pada petang hari, setelah matahari terbenam, orang membawa semua orang sakit dan orang yang dirasuk roh jahat kepada Yesus. Semua penduduk kota itu berkumpul di hadapan rumah itu. Yesus menyembuhkan banyak orang yang menderita berbagai-bagai penyakit, dan Dia juga mengusir roh-roh jahat. Yesus tidak membenarkan roh-roh jahat berkata apa-apa, kerana roh-roh jahat tahu siapa Dia. Esok paginya, ketika masih subuh, Yesus bangun lalu meninggalkan rumah. Dia pergi ke luar kota, ke suatu tempat yang sunyi untuk berdoa. Simon dan sahabat-sahabatnya pergi mencari Yesus. Apabila mereka menemui Yesus, mereka berkata, “Semua orang sedang mencari Guru.” Tetapi Yesus menjawab, “Kita mesti meneruskan perjalanan ke pekan-pekan lain di sekitar kawasan ini. Aku mesti menyampaikan perkhabaran itu di sana juga, kerana untuk tujuan itulah Aku datang.” Demikianlah Yesus menjelajah seluruh Galilea dan berkhutbah di rumah ibadat serta mengusir roh-roh jahat. Seorang berpenyakit kulit yang mengerikan datang kepada Yesus. Orang itu berlutut dan memohon pertolongan-Nya. “Tuan, jika tuan sudi,” katanya, “tuan dapat menyembuhkan saya.” Yesus mengasihaninya. Dia pun menghulurkan tangan-Nya, lalu menjamah orang itu sambil berkata, “Aku mahu, sembuhlah!” Seketika itu juga penyakitnya tiada lagi dan orang itu sembuh. Lalu Yesus menyuruh dia pergi sambil memperingatkan dia, “Dengarlah baik-baik, jangan beritahu sesiapa pun perkara ini. Tetapi pergilah kepada imam dan mintalah dia mengesahkan kesembuhanmu. Kemudian persembahkanlah korban seperti yang diperintahkan oleh Musa, sebagai bukti kepada semua orang bahawa kamu betul-betul sudah sembuh.” Tetapi orang itu pergi dan mula menyebarkan berita itu di mana-mana. Dia terus-menerus menceritakan hal itu sehingga Yesus tidak dapat masuk ke bandar secara terang-terangan. Yesus tinggal di luar bandar di tempat-tempat yang sunyi, tetapi orang dari berbagai-bagai tempat datang kepada-Nya.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami