Yesus menaiki sebuah perahu dan menyeberangi tasik, lalu kembali ke bandar tempat Dia tinggal. Di sana beberapa orang membawa seorang lumpuh yang terbaring di atas tikar kepada Yesus. Ketika Yesus melihat betapa besarnya iman mereka, Dia berkata kepada orang lumpuh itu, “Teguhkanlah hatimu, anak-Ku! Dosamu sudah diampunkan.” Beberapa orang guru Taurat di situ berkata dalam hati, “Orang ini mengkufuri Allah!” Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka, lalu Dia berkata, “Mengapa kamu memikirkan perkara sejahat itu? Manakah yang lebih mudah: mengatakan, ‘Dosamu sudah diampunkan’ atau ‘Bangunlah dan berjalan’? Aku akan membuktikan kepada kamu bahawa di atas bumi ini Anak Manusia berkuasa mengampunkan dosa.” Lalu Yesus berkata kepada orang yang lumpuh itu, “Bangunlah, angkat tikarmu dan pulanglah!” Orang lumpuh itu pun bangun lalu pulang ke rumah. Apabila orang di situ nampak kejadian itu, mereka ketakutan dan memuji Allah kerana Allah sudah memberikan kuasa yang begitu besar kepada manusia. Yesus meninggalkan tempat itu. Ketika Dia sedang berjalan, Dia nampak seorang pemungut cukai bernama Matius duduk di tempat memungut cukai. Yesus berkata kepadanya, “Ikutlah Aku.” Matius berdiri lalu mengikut Yesus. Sementara Yesus makan di rumah Matius, banyak pemungut cukai dan orang yang dihina oleh masyarakat makan bersama-sama Yesus dan pengikut-Nya. Beberapa orang Farisi nampak hal ini, lalu bertanya kepada pengikut-pengikut Yesus, “Mengapa guru kamu makan bersama-sama pemungut cukai dan orang yang dihina masyarakat?” Yesus mendengar pertanyaan mereka lalu menjawab, “Orang sihat tidak memerlukan doktor; hanya orang yang sakit. Carilah makna ayat Alkitab ini: ‘Aku menghendaki belas kasihan dan bukan korban binatang.’ Itulah sebabnya Aku tidak datang untuk memanggil orang yang menganggap diri mereka baik, tetapi orang yang dihina masyarakat.” Setelah itu pengikut-pengikut Yohanes Pembaptis datang kepada Yesus dan bertanya, “Mengapa kami dan orang Farisi kerap kali berpuasa sedangkan pengikut-pengikut guru tidak berpuasa sama sekali?” Yesus menjawab, “Adakah kamu berharap tetamu di jamuan perkahwinan berdukacita selama pengantin lelaki bersama-sama mereka? Tentu tidak! Tetapi akan tiba masanya pengantin lelaki itu akan diambil daripada mereka. Pada masa itulah mereka berpuasa. Tidak ada orang menampal pakaian lama dengan seperca kain baru, kerana tampalan itu akan mengecut lalu mengakibatkan koyakan yang lebih besar. Demikian juga tidak ada orang menuang wain baru ke dalam kirbat kulit yang lama. Jika dia berbuat demikian, kirbat itu akan pecah dan rosak, lalu wain itu akan terbuang. Wain baru harus dituang ke dalam kirbat kulit yang baru juga, supaya kedua-duanya tetap baik.”
Baca MATIUS 9
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MATIUS 9:1-17
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video