MATIUS 27:11-61

MATIUS 27:11-61 BM

Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.” Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!” Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!” Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib. Dalam perjalanan ke luar kota, mereka berjumpa dengan seorang lelaki dari Kirene yang bernama Simon. Askar-askar memaksa dia memikul salib Yesus. Mereka tiba di tempat bernama Golgota, yang bermakna “Tempat Tengkorak”. Di situ mereka memberikan wain yang bercampur bahan pahit kepada Yesus. Tetapi setelah Yesus mengecap minuman itu, Dia tidak mahu meminumnya. Kemudian askar-askar menyalibkan Dia, dan membahagi-bahagikan pakaian-Nya antara mereka dengan membuang undi. Setelah itu mereka duduk di sana dan mengawal Dia. Di sebelah atas kepala Yesus, terpasang tulisan tentang tuduhan terhadap Yesus: “Inilah Yesus, Raja Orang Yahudi.” Dua orang penjahat juga disalibkan bersama-sama Yesus, seorang di sebelah kanan dan seorang lagi di sebelah kiri-Nya. Semua orang yang lalu di situ menggelengkan kepala sambil mencemuh Yesus. Mereka berkata, “Kamu mahu merobohkan Rumah Tuhan lalu membinanya semula dalam tiga hari! Jika kamu Anak Allah, selamatkanlah dirimu dan turunlah dari salib!” Para ketua imam, guru Taurat, dan pemimpin masyarakat Yahudi juga memperolokkan Yesus. Mereka berkata, “Dia menyelamatkan orang lain, tetapi tidak dapat menyelamatkan dirinya sendiri! Bukankah dia raja orang Israel? Jika dia turun dari salib sekarang, kami akan percaya kepadanya! Dia percaya kepada Allah dan berkata bahawa dia Anak Allah. Mari kita lihat, adakah Allah akan menyelamatkan dia sekarang?” Bahkan kedua-dua orang penjahat yang disalibkan bersama-sama Yesus pun menghina Dia seperti itu. Pada tengah hari, selama tiga jam, seluruh negeri itu menjadi gelap. Pada pukul tiga petang, Yesus berseru dengan suara lantang, “Eli, Eli, lama sabakhtani?” yang bererti, “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapa Engkau meninggalkan Aku?” Beberapa orang di situ mendengar seruan Yesus, lalu berkata, “Dia memanggil Elia!” Seorang daripada mereka segera lari mengambil bunga karang, lalu mencelupkannya ke dalam wain murah. Kemudian bunga karang itu dicucukkannya pada hujung sebatang kayu, lalu dihulurkannya ke mulut Yesus. Tetapi orang lain di situ berkata, “Tunggu, mari kita lihat kalau-kalau Elia datang menyelamatkan dia!” Kemudian Yesus berseru lagi dengan nyaring, lalu menghembuskan nafas yang terakhir. Kemudian tirai yang tergantung di dalam Rumah Tuhan koyak dari atas sampai ke bawah, sehingga menjadi dua helai. Bumi bergoncang, gunung batu terbelah, kubur terbuka, dan banyak umat Allah yang sudah meninggal dihidupkan semula. Mereka meninggalkan kubur, dan setelah Yesus bangkit daripada kematian, mereka masuk ke Yerusalem. Di sana banyak orang nampak mereka. Apabila ketua askar dan askar-askar yang sedang mengawal Yesus nampak gempa bumi dan segala perkara yang berlaku, mereka ketakutan. Mereka berkata, “Dia betul-betul Anak Allah!” Di situ ada juga banyak wanita yang memandang dari jauh. Mereka datang bersama-sama Yesus dari Galilea dan mereka menolong Dia. Antara mereka ialah Maria Magdalena, Maria ibu Yakobus dan Yusuf, serta ibu anak-anak Zebedeus. Pada waktu petang, seorang kaya dari Arimatea yang bernama Yusuf datang. Dia juga pengikut Yesus. Dia pergi kepada Pilatus dan meminta jenazah Yesus. Pilatus memberikan perintah supaya jenazah Yesus diserahkan kepadanya. Yusuf mengambil jenazah itu lalu membalutnya dengan kain linen baru. Dia meletakkan jenazah Yesus di dalam kubur miliknya sendiri yang baru dipahat di bukit batu. Kemudian Yusuf menggulingkan sebuah batu besar untuk menutup pintu kubur itu, lalu dia pergi. Maria Magdalena dan Maria yang lain duduk di situ menghadapi kubur itu.

Pelan Bacaan dan Renungan percuma yang berkaitan dengan MATIUS 27:11-61