MATIUS 27:1-31

MATIUS 27:1-31 BM

Pada pagi-pagi sekali, semua ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi membuat keputusan untuk membunuh Yesus. Mereka mengikat Yesus, lalu membawa Dia pergi untuk diserahkan kepada Pilatus, gabenor kerajaan Roma. Apabila Yudas, pengkhianat itu tahu bahawa Yesus telah dijatuhi hukuman mati, dia menyesal. Lalu dia mengembalikan tiga puluh keping wang perak itu kepada para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Dia berkata, “Aku sudah berdosa kerana mengkhianati orang yang tidak bersalah sehingga dihukum mati!” Tetapi mereka menjawab, “Kami tidak peduli! Itu urusanmu!” Yudas melempar wang itu ke dalam Rumah Tuhan lalu meninggalkan mereka. Kemudian dia pergi menggantung diri. Para ketua imam memungut wang itu dan berkata, “Wang ini upah seorang pembunuh. Menurut Taurat kita, wang ini tidak boleh dimasukkan ke dalam peti persembahan di Rumah Tuhan.” Setelah bersetuju, mereka menggunakan wang itu untuk membeli tanah yang disebut Tanah Tukang Periuk. Tanah itu digunakan sebagai perkuburan orang bukan Yahudi. Itulah sebabnya sehingga hari ini tanah itu dinamakan “Tanah Darah”. Dengan demikian berlakulah apa yang dikatakan oleh Nabi Yeremia, “Mereka mengambil tiga puluh keping wang perak, jumlah yang disetujui oleh orang Israel sebagai bayaran bagi Dia. Wang itu digunakan untuk membeli tanah tukang periuk, seperti yang diperintahkan oleh Tuhan kepadaku.” Yesus berdiri di hadapan Gabenor Pilatus, dan Pilatus bertanya kepada-Nya, “Adakah kamu raja orang Yahudi?” “Begitulah yang tuan katakan,” jawab Yesus. Tetapi apabila para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi melemparkan banyak tuduhan terhadap Yesus, Dia diam sahaja. Oleh itu Pilatus berkata kepada-Nya, “Tidakkah kamu mendengar segala tuduhan yang dilemparkan oleh mereka terhadapmu?” Tetapi Yesus tidak menjawab sepatah pun, sehingga gabenor itu sangat hairan. Pada tiap-tiap Perayaan Paska, gabenor Roma biasanya membebaskan seorang tahanan yang dikehendaki orang ramai. Pada masa itu ada seorang tahanan yang terkenal, yang bernama Yesus Barabas. Apabila orang ramai berkumpul, Pilatus bertanya kepada mereka, “Siapakah yang kamu mahu aku bebaskan? Yesus Barabas atau Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus tahu betul bahawa pemimpin orang Yahudi menyerahkan Yesus kepadanya kerana iri hati. Sementara Pilatus duduk di balai pengadilan, isterinya mengirim berita kepadanya, “Janganlah turut campur perkara orang yang tidak bersalah itu, kerana saya mendapat mimpi buruk tentang dia.” Para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi menghasut orang ramai supaya meminta Pilatus membebaskan Barabas dan menghukum mati Yesus. Tetapi Pilatus bertanya kepada orang ramai, “Yang mana satu antara kedua-dua orang ini yang kamu mahu aku bebaskan?” “Barabas!” jawab mereka. “Lalu apakah yang harus aku lakukan terhadap Yesus yang disebut Kristus?” Pilatus bertanya kepada mereka. “Salibkan dia!” jawab mereka semua. Tetapi Pilatus berkata, “Kejahatan apa yang telah dilakukannya?” Kemudian mereka berteriak lebih kuat lagi, “Salibkan dia!” Apabila Pilatus sedar bahawa dia tidak boleh berbuat apa-apa lagi dan bahawa orang ramai mungkin merusuh, dia mengambil air lalu membasuh tangan di hadapan orang ramai. Dia berkata, “Aku tidak bertanggungjawab terhadap kematian orang ini! Kamulah yang bertanggungjawab!” Seluruh orang ramai itu menjawab, “Kami dan keturunan kami bertanggungjawab terhadap kematiannya!” Kemudian Pilatus membebaskan Barabas bagi mereka, dan menyuruh orang menyesah Yesus serta menyerahkan Dia kepada askar untuk disalib. Kemudian askar-askar Pilatus membawa Yesus ke istana gabenor, dan semua askar di situ berkumpul di sekeliling-Nya. Mereka menanggalkan pakaian Yesus lalu memakaikan jubah merah ungu pada Dia. Kemudian mereka membuat mahkota daripada ranting-ranting berduri dan mengenakannya pada kepala Yesus. Askar-askar itu juga menaruh sebatang tongkat pada tangan kanan Yesus. Kemudian mereka berlutut di hadapan Yesus dan mengejek Dia. Mereka berkata, “Daulat Raja Orang Yahudi!” Mereka meludahi Dia dan mengambil tongkat itu lalu memukul kepala-Nya. Setelah mereka mempermainkan Yesus, mereka menanggalkan jubah merah ungu itu lalu memakaikan pakaian-Nya sendiri semula. Kemudian mereka membawa Yesus ke luar untuk disalib.