Yesus masih berkata-kata apabila Yudas, seorang daripada dua belas orang pengikut-Nya tiba. Bersama dengan dia datang juga sekumpulan orang yang membawa pedang dan belantan. Mereka disuruh oleh para ketua imam dan pemimpin masyarakat Yahudi. Pengkhianat itu telah menentukan suatu tanda bagi mereka. Dia berkata, “Orang yang saya cium, itulah dia. Tangkaplah dia!” Apabila Yudas tiba, dia segera menghampiri Yesus dan berkata, “Salam sejahtera, Guru,” lalu mencium Yesus. Yesus menjawab, “Cepatlah, kawan!” Kemudian orang yang datang bersama-sama Yudas mendekati Yesus dan menangkap-Nya serta memegang Dia dengan kuat. Salah seorang pengikut di situ yang bersama-sama Yesus, menghunus pedangnya lalu memukul hamba Imam Agung dan mengerat telinganya. Yesus berkata kepada pengikut itu, “Sarungkan pedangmu kembali, kerana semua orang yang menggunakan pedang akan terbunuh dengan pedang. Tidakkah kamu tahu bahawa Aku boleh meminta Bapa-Ku menolong Aku, dan dengan segera Bapa-Ku dapat mengirim malaikat yang lebih daripada dua belas pasukan? Tetapi Aku tidak akan meminta Bapa-Ku menolong Aku. Jika Aku berbuat demikian, bagaimanakah nubuat di dalam Alkitab yang mengatakan bahawa perkara ini harus berlaku dapat terjadi?” Lalu Yesus berkata kepada semua orang itu, “Perlukah kamu datang dengan pedang dan belantan untuk menangkap Aku, seolah-olah Aku ini penjahat? Setiap hari Aku mengajar di Rumah Tuhan, tetapi kamu tidak menangkap Aku!
Baca MATIUS 26
Kongsi
Bandingkan Semua Versi: MATIUS 26:47-55
Simpan ayat, baca di luar talian, tonton klip pengajaran, dan banyak lagi!
Halaman Utama
Alkitab
Pelan
Video