MATIUS 24:1-28

MATIUS 24:1-28 BM

Ketika Yesus meninggalkan Rumah Tuhan, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya dan menunjukkan bangunan-bangunan Rumah Tuhan itu. Yesus berkata kepada mereka, “Lihatlah semuanya ini! Ketahuilah bahawa satu batu pun tidak akan tinggal tersusun pada tempatnya; semuanya akan dirobohkan.” Di bukit Zaitun, semasa Yesus duduk, pengikut-pengikut-Nya datang kepada-Nya. Tiada orang lain di situ, maka mereka bertanya, “Guru, beritahulah kami bila segala perkara ini akan berlaku? Apakah tanda-tanda yang akan menunjukkan masa kedatangan Guru dan akhir zaman?” Yesus menjawab, “Berjaga-jagalah supaya kamu tidak tertipu. Banyak orang akan datang dengan nama-Ku dan berkata, ‘Aku Penyelamat yang diutus oleh Allah!’ Mereka akan menipu banyak orang. Kamu akan mendengar riuh pertempuran dan berita peperangan, tetapi janganlah takut. Semua perkara ini mesti berlaku, tetapi hal itu tidak bererti bahawa akhir zaman telah tiba. Satu bangsa akan berperang melawan bangsa yang lain. Satu kerajaan akan menyerang kerajaan yang lain. Di mana-mana akan berlaku kebuluran dan gempa bumi. Semuanya ini hanya permulaan sahaja, sama seperti sakit yang dialami oleh wanita yang akan bersalin. Kemudian kamu akan ditangkap dan diserahkan untuk diseksa dan dibunuh. Semua orang akan membenci kamu kerana kamu pengikut-Ku. Pada masa itu banyak antara pengikut-Ku yang tidak lagi percaya kepada-Ku. Mereka akan saling mengkhianati dan saling membenci. Lalu banyak nabi palsu akan muncul dan menipu banyak orang. Kejahatan semakin merebak sehingga kasih kebanyakan orang hampir lenyap. Tetapi sesiapa yang bertahan sehingga akhir akan diselamatkan. Berita Baik tentang bagaimana Allah memerintah akan dikhabarkan ke seluruh dunia supaya semua orang mendengarnya. Setelah itu barulah tiba akhir zaman.” “Kamu akan melihat ‘Bencana yang Dahsyat’ yang dikatakan oleh Nabi Daniel, di tempat yang suci itu. (Catatan kepada pembaca: Hendaklah kamu faham apa maknanya!) Lalu mereka yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. Orang yang di bumbung rumah janganlah turun dan masuk ke rumah untuk mengambil sesuatu. Orang yang di ladang janganlah balik untuk mengambil jubah. Alangkah dahsyatnya masa itu bagi wanita yang mengandung dan ibu yang menyusui bayi! Berdoalah kepada Allah supaya kamu tidak kena melarikan diri pada musim sejuk atau pada hari Sabat! Kesusahan pada masa itu jauh lebih dahsyat daripada yang pernah berlaku, sejak dunia diciptakan sehingga sekarang. Perkara itu pun tidak akan berlaku lagi. Seandainya Allah tidak memendekkan masa itu, tidak seorang pun akan selamat. Tetapi kerana umat pilihan Allah, Dia memendekkan masa itu. Pada masa itu, jika seseorang berkata kepada kamu, ‘Lihat, Penyelamat yang diutus oleh Allah ada di sini!’ atau ‘Lihat, Dia di situ!’ - janganlah percaya kepada orang itu. Penyelamat palsu dan nabi palsu akan datang. Mereka akan melakukan mukjizat dan keajaiban untuk menipu orang, bahkan umat pilihan Allah pun tertipu. Dengarlah! Aku telah mengatakan semua ini kepada kamu sebelum perkara itu berlaku. Jika orang berkata kepada kamu, ‘Lihat, dia di padang gurun!’ - janganlah kamu ke sana. Atau jika mereka berkata, ‘Lihat, dia di dalam bilik!’ - janganlah percaya. Sesungguhnya Anak Manusia akan datang seperti kilat yang memancar di seluruh langit, dari timur sampai ke barat. Di tempat yang ada mayat, di situlah burung pemakan bangkai berkumpul.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami