Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memberikan sepersepuluh daripada berbagai-bagai jenis rempah seperti selasih, adas manis, dan jintan kepada Allah. Tetapi kamu tidak mentaati ajaran Taurat yang betul-betul mustahak seperti keadilan, belas kasihan, dan kesetiaan. Semua perkara ini harus kamu lakukan, tanpa melalaikan ajaran yang lain. Hai pemimpin buta! Lalat di dalam minuman kamu tapis, tetapi unta kamu telan.
Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membersihkan bahagian luar cawan dan pinggan, tetapi bahagian dalamnya penuh dengan apa yang kamu peroleh dengan kekerasan dan ketamakan. Hai orang Farisi, kamu buta! Bersihkan bahagian dalam cawan itu terlebih dahulu, lalu bahagian luarnya akan bersih juga!
Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu seperti kubur yang bercat putih; baik di luar tetapi di dalamnya penuh dengan tulang dan mayat yang busuk. Demikianlah halnya dengan kamu! Pada lahirnya kamu kelihatan melakukan kehendak Allah, tetapi kamu sebenarnya orang jahat dan munafik.”
“Alangkah malangnya kamu guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu membina kubur yang elok-elok untuk para nabi, serta menghiasi kubur orang yang melakukan kehendak Allah. Kamu berkata, ‘Seandainya kami hidup pada zaman nenek moyang kami, tentu kami tidak akan mengikut perbuatan mereka yang membunuh nabi.’ Oleh itu kamu mengakui kamu keturunan orang yang membunuh nabi! Jika demikian teruskan dan selesaikan apa yang dimulakan oleh nenek moyang kamu! Kamu jahat seperti ular berbisa dan kamu keturunan orang jahat! Bagaimana mungkin kamu dapat melepaskan diri daripada hukuman di neraka? Ketahuilah bahawa Aku akan mengutus nabi, orang bijak, dan guru kepada kamu. Kamu akan membunuh beberapa orang antara mereka dan menyalibkan yang lain. Kamu akan menyesah yang lain di dalam rumah ibadat, dan mengejar mereka dari satu kota ke kota lain. Akhirnya, Allah akan menghukum kamu kerana pembunuhan semua orang yang tidak bersalah itu, mulai daripada pembunuhan Habel yang tidak bersalah, sehingga pembunuhan Zakharia anak Berekia, yang kamu bunuh di antara Rumah Tuhan dan mazbah. Percayalah, orang zaman ini akan dihukum kerana semua pembunuhan itu!”
“Yerusalem, Yerusalem! Engkau membunuh nabi dan merejam utusan Allah! Sudah beberapa kali Aku ingin memeluk semua pendudukmu seperti seekor induk ayam menaungi anak-anaknya di bawah sayapnya, tetapi pendudukmu tidak mahu! Yerusalem, engkau akan ditinggalkan oleh Allah, sehingga engkau terbiar. Ketahuilah bahawa mulai sekarang kamu tidak akan melihat Aku lagi sehingga kamu berkata, ‘Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan.’ ”