Lalu Yesus berkata kepada orang ramai dan kepada pengikut-pengikut-Nya, “Guru Taurat dan orang Farisi diberikan kuasa untuk mentafsirkan Taurat Musa. Oleh itu taatilah dan turutilah segala yang diperintahkan mereka. Tetapi jangan lakukan apa yang dilakukan mereka, kerana perbuatan mereka tidak sesuai dengan ajaran mereka. Mereka meletakkan beban yang berat dan susah dipikul ke atas bahu orang, tetapi mereka tidak mahu menghulurkan satu jari pun untuk menolong orang memikul beban itu. Mereka melakukan segala sesuatu hanya untuk dilihat orang. Lihatlah betapa besarnya bekas ayat Alkitab yang diikat pada dahi dan lengan mereka. Perhatikan juga betapa panjangnya rumbai jubah mereka! Mereka gemar akan tempat yang terbaik di majlis jamuan, dan akan kerusi istimewa di rumah ibadat. Mereka suka dihormati orang di pasar, dan suka dipanggil ‘Guru.’ Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Guru’, kerana kamu semua bersaudara dan Guru kamu hanya satu. Janganlah panggil sesiapa pun di dunia ini ‘Bapa’, kerana kamu hanya mempunyai satu Bapa yang di syurga. Janganlah minta orang menyebut kamu ‘Pemimpin’, kerana Penyelamat yang diutus oleh Allah itu satu-satunya pemimpin kamu. Orang yang terbesar antara kamu harus menjadi pelayan kamu. Sesiapa yang meninggikan diri akan direndahkan, dan sesiapa yang merendahkan diri akan ditinggikan.”
“Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menghalang orang menikmati Pemerintahan Allah. Bukan sahaja kamu tidak mahu menikmati Pemerintahan Allah, bahkan kamu menghalang orang yang berusaha menikmatinya.
[ Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu memperdaya balu dan merampas rumah mereka, kemudian pura-pura berdoa dengan berpanjangan. Oleh itu, kamu akan menerima hukuman yang berat!]
Alangkah malangnya kamu, guru Taurat dan orang Farisi! Kamu munafik! Kamu menyeberangi lautan dan menjelajah daratan untuk menjadikan seorang pemeluk agama kamu. Tetapi setelah kamu berjaya, kamu menjadikan dia layak menerima hukuman di neraka yang dua kali banyaknya seperti kamu sendiri!
Alangkah malangnya kamu pemimpin buta! Kamu mengajarkan hal ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, orang itu tidak terikat pada sumpahnya. Tetapi jika dia bersumpah demi emas di dalam Rumah Tuhan, dia terikat pada sumpahnya.’ Kamu orang bodoh yang buta! Manakah yang lebih mustahak: Emas atau Rumah Tuhan yang menjadikan emas itu suci? Kamu juga mengajarkan ini, ‘Jika seseorang bersumpah demi mazbah, orang itu tidak terikat pada sumpahnya, tetapi jika dia bersumpah demi persembahan di atas mazbah itu, dia terikat pada sumpahnya.’ Alangkah butanya kamu! Manakah yang lebih mustahak? Persembahan itu atau mazbah yang menjadikan persembahan itu suci? Oleh itu, apabila seseorang bersumpah demi mazbah, dia bersumpah demi mazbah itu dan demi segala persembahan di atasnya. Apabila seseorang bersumpah demi Rumah Tuhan, dia bersumpah demi Rumah itu dan demi Allah yang tinggal di situ. Apabila seseorang bersumpah demi syurga, dia bersumpah demi takhta Allah dan demi Allah yang duduk di takhta itu.