MATIUS 21:1-17

MATIUS 21:1-17 BM

Semasa mendekati Yerusalem, Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Betfage, sebuah pekan di Bukit Zaitun. Di situ Yesus menyuruh dua orang pengikut-Nya pergi terlebih dahulu. Yesus berkata kepada mereka, “Pergilah ke pekan yang di hadapan itu. Sebaik sahaja kamu memasuki pekan itu, kamu akan nampak seekor keldai yang terikat, dan anaknya pun di situ. Lepaskan keldai itu dan bawa kedua-duanya kepada-Ku. Jika ada orang mengatakan sesuatu, katakan kepadanya, ‘Tuhan memerlukannya.’ Dengan segera orang itu akan membenarkan kedua-dua ekor keldai itu dibawa pergi.” Hal ini berlaku supaya terjadilah apa yang dikatakan oleh nabi, “Katakanlah kepada kota Sion, Rajamu sedang datang kepada kamu. Dia rendah hati dan menunggang seekor keldai, Dia datang mengendarai anak keldai yang muda.” Kedua-dua orang pengikut itu pun pergi dan melakukan seperti yang diarahkan oleh Yesus. Mereka membawa kedua-dua ekor keldai itu, lalu mengalasi punggung keldai dengan jubah mereka. Kemudian Yesus menungganginya. Banyak orang membentangkan jubah di atas jalan, sementara yang lain mengerat ranting-ranting pokok, lalu menyelerakkannya di jalan. Orang ramai yang berjalan di hadapan dan yang mengikut di belakang Yesus mula berseru-seru, “Pujilah Anak Daud! Diberkatilah Dia yang datang dengan nama Tuhan! Pujilah Allah!” Apabila Yesus masuk ke Yerusalem, seluruh kota menjadi gempar. Orang bertanya, “Siapakah dia?” “Dia Yesus, nabi dari Nasaret di Galilea,” jawab orang ramai yang mengiringi Yesus. Yesus masuk ke Rumah Tuhan, lalu mengusir semua orang yang berjual beli di situ. Dia menunggangbalikkan meja para penukar wang dan bangku para penjual burung merpati. Yesus berkata kepada mereka, “Di dalam Alkitab tertulis bahawa Allah berfirman, ‘Rumah-Ku akan disebut rumah tempat berdoa.’ Tetapi kamu menjadikannya tempat persembunyian perompak!” Orang buta dan orang tempang datang kepada Yesus di Rumah Tuhan dan Yesus menyembuhkan mereka. Ketua imam dan guru Taurat marah apabila mereka melihat mukjizat-mukjizat yang dilakukan oleh Yesus. Mereka marah juga apabila mendengar anak-anak berseru-seru di Rumah Tuhan, “Pujilah Anak Daud!” Mereka berkata kepada Yesus, “Adakah kamu mendengar apa yang dikatakan oleh mereka?” “Tentu sahaja,” jawab Yesus. “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab berikut, ‘Ya Allah, Engkau telah mengajar anak-anak dan bayi mengucapkan pujian yang sempurna.’ ” Yesus meninggalkan mereka, lalu keluar dari kota itu dan pergi ke Betania. Dia bermalam di situ.

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami