Yesus dan dua belas orang pengikut-Nya pergi ke Yerusalem. Di tengah perjalanan, Yesus mengajak mereka ke tepi lalu berkata kepada mereka sahaja, “Dengarlah, kita sekarang menuju ke Yerusalem. Di sana Anak Manusia akan diserahkan kepada ketua imam dan guru Taurat. Mereka akan menjatuhkan hukuman mati kepada-Nya, lalu menyerahkan Dia kepada orang bukan Yahudi, yang akan mengolok-olok Dia, menyesah Dia, dan menyalibkan Dia. Tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”
Kemudian isteri Zebedeus datang kepada Yesus dengan kedua-dua orang anaknya. Dia berlutut di hadapan Yesus dan meminta sesuatu daripada-Nya.
“Apakah kehendakmu?” tanya Yesus.
Ibu itu menjawab, “Berjanjilah bahawa apabila Tuan menjadi Raja, kedua-dua orang anak saya akan duduk di sebelah kanan dan kiri Tuan.”
Yesus berkata kepada kedua-dua orang anak lelaki ibu itu, “Kamu tidak tahu apa yang kamu minta. Sanggupkah kamu minum dari cawan penderitaan yang akan Aku minum?”
“Sanggup,” jawab mereka.
Yesus berkata kepada mereka, “Memang kamu akan minum dari cawan penderitaan-Ku. Tetapi Aku tidak berhak menentukan orang yang akan duduk di sebelah kanan atau kiri-Ku. Bapa-Ku yang menentukan siapa orang yang akan duduk di tempat itu.”
Apabila sepuluh orang pengikut-Nya yang lain mendengar hal itu, mereka marah terhadap dua orang bersaudara itu. Oleh itu Yesus memanggil mereka semua lalu berkata, “Kamu tahu bahawa para penguasa bangsa yang tidak mengenal Allah menindas rakyat. Para pemimpin mereka selalu menekan rakyat. Tetapi tidak demikian halnya dengan kamu. Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain. Jika seorang antara kamu hendak menjadi yang pertama, dia harus menjadi hamba kamu semua. Kamu harus berbuat demikian kerana Anak Manusia tidak datang untuk dilayani; Dia datang untuk melayani orang serta menyerahkan nyawa-Nya untuk membebaskan banyak orang.”
Ketika Yesus dan pengikut-pengikut-Nya meninggalkan Yerikho, banyak orang mengikut mereka. Dua orang buta yang duduk di pinggir jalan mendengar bahawa Yesus sedang lalu di situ. Mereka mula berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!”
Orang ramai memarahi mereka dan menyuruh mereka diam. Tetapi lebih kuat lagi mereka berseru, “Ya Anak Daud, kasihanilah kami!”
Yesus berhenti dan memanggil mereka. Dia bertanya, “Apakah yang kamu mahu Aku lakukan untuk kamu?”
Mereka menjawab, “Tuan, kami ingin melihat!”
Yesus mengasihani mereka. Dia menyentuh mata mereka, dan dengan segera mereka dapat melihat. Lalu mereka mengikut Yesus.