Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan. Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ.
Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?”
Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan? Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.”
Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, “Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?”
Yesus menjawab, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya. Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.”
Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.”
Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.”
Beberapa orang membawa kanak-kanak kepada Yesus supaya Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala kanak-kanak itu dan mendoakan mereka. Tetapi pengikut-pengikut Yesus memarahi orang yang membawa semua kanak-kanak itu. Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Biarlah kanak-kanak itu datang kepada-Ku! Jangan larang mereka, kerana orang seperti inilah yang menikmati Pemerintahan Allah.”
Yesus meletakkan tangan-Nya pada kepala semua kanak-kanak itu. Kemudian Dia pergi.
Pada suatu hari seorang lelaki datang kepada Yesus. Dia bertanya, “Guru, perbuatan baik apakah yang harus saya lakukan supaya beroleh hidup sejati dan kekal?”
Yesus menjawab, “Mengapakah kamu bertanya kepada-Ku tentang apa yang baik? Hanya Allah yang baik. Taatilah hukum Allah jika kamu hendak beroleh hidup sejati dan kekal.”
“Hukum yang mana?” tanya orang itu.
Yesus menjawab, “Jangan membunuh; jangan berzina; jangan mencuri; jangan berikan kesaksian palsu; hormatilah ibu bapamu; dan kasihilah sesama manusia seperti kamu mengasihi dirimu sendiri.”
“Semua hukum ini sudah saya taati,” jawab orang muda itu. “Adakah lagi yang harus saya lakukan?”
Yesus berkata kepadanya, “Jika kamu hendak menjadi sempurna, pergilah jual segala sesuatu yang kamu miliki, dan berikan wangnya kepada orang miskin, maka kamu akan beroleh harta di syurga. Kemudian marilah, ikutlah Aku.”
Apabila orang muda itu mendengar hal ini, dia meninggalkan tempat itu dengan susah hati kerana dia sangat kaya.
Lalu Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Ketahuilah, susah sekali bagi seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah. Aku berkata kepada kamu: Lebih mudah bagi seekor unta memasuki lubang jarum daripada seorang kaya menikmati Pemerintahan Allah.”
Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar kata-kata-Nya, mereka sangat hairan. Mereka berkata, “Jika demikian siapakah yang boleh diselamatkan?”
Yesus memandang mereka lalu berkata, “Hal ini mustahil bagi manusia, tetapi Allah dapat melakukan segala perkara!”
Lalu Petrus berkata, “Lihatlah, kami sudah meninggalkan segala-galanya lalu mengikut Guru. Apakah yang akan kami terima daripada Allah?”
Yesus berkata kepada mereka, “Percayalah bahawa pada masa Anak Manusia duduk di atas takhta-Nya yang mulia di Dunia Baru Allah, kamu dua belas orang pengikut-Ku juga akan duduk di atas takhta dan memerintah dua belas suku Israel! Setiap orang yang sudah meninggalkan rumah, atau saudara lelaki, atau saudara perempuan, atau ibu bapa, atau anak-anak, atau ladang kerana Aku, akan menerima seratus kali ganda apa yang sudah ditinggalkan, serta menerima hidup sejati dan kekal. Tetapi banyak orang yang sekarang ini terdahulu akan menjadi yang terakhir, dan yang sekarang ini terakhir akan menjadi yang terdahulu.”