MATIUS 19:1-12

MATIUS 19:1-12 BM

Setelah Yesus mengatakan semua perkara itu, Dia meninggalkan Galilea lalu pergi ke daerah Yudea di seberang Sungai Yordan. Banyak orang mengikut Dia, dan Dia menyembuhkan orang sakit di situ. Beberapa orang Farisi datang untuk memerangkap Yesus. Mereka bertanya, “Adakah Taurat kita membenarkan seorang lelaki menceraikan isterinya dengan sebarang alasan?” Yesus menjawab, “Belum pernahkah kamu baca ayat Alkitab yang mengatakan bahawa pada mulanya Allah menjadikan orang lelaki dan perempuan? Kemudian Allah berfirman, ‘Itulah sebabnya seorang lelaki meninggalkan ibu bapanya dan bersatu dengan isterinya, lalu kedua-duanya menjadi satu.’ Dengan demikian mereka bukan lagi dua orang, tetapi satu. Oleh itu mereka yang telah disatukan oleh Allah, tidak boleh dipisahkan oleh manusia.” Orang Farisi di situ bertanya kepada Yesus, “Jika demikian, mengapa Musa memberikan hukum yang membenarkan seseorang menceraikan isterinya asal menulis surat cerai?” Yesus menjawab, “Musa membenarkan kamu menceraikan isteri kerana kamu terlalu sukar diajar. Tetapi sebenarnya bukanlah demikian pada mulanya. Ketahuilah, sesiapa menceraikan isterinya, kecuali kerana perzinaan, orang itu berzina jika dia berkahwin lagi dengan wanita lain.” Pengikut-pengikut Yesus berkata kepada-Nya, “Jika demikian halnya dengan kehidupan suami isteri, lebih baik tidak berkahwin.” Yesus menjawab, “Tidak semua orang dapat menerima ajaran ini, hanya mereka yang sudah dikurniai oleh Allah kemampuan untuk menerimanya. Banyak sebabnya mengapa orang tidak berkahwin: Ada yang dilahirkan demikian, ada yang dijadikan mandul, dan ada pula yang tidak berkahwin supaya dapat mengabdikan diri kepada Allah. Biarlah orang yang sanggup menerima ajaran ini, berbuat demikian.”