MATIUS 18:15-35

MATIUS 18:15-35 BM

“Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.” “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.” Petrus datang kepada Yesus dan bertanya, “Ya Tuhan, jika saudaraku berdosa terhadap aku, berapa kalikah harus aku ampuni dia? Sehingga tujuh kalikah?” Yesus menjawab, “Bukan tujuh kali, tetapi tujuh puluh kali tujuh kali! Aku berkata demikian, kerana apabila Allah memerintah keadaannya seperti berikut. Seorang raja hendak memeriksa akaun pegawai-pegawainya. Apabila raja mula berbuat demikian, salah seorang pegawainya yang meminjam wang beratus-ratus juta dibawa menghadap. Pegawai itu tidak mempunyai cukup wang untuk melunaskan hutangnya. Oleh itu, raja memberikan perintah supaya pegawai itu dijual sebagai hamba bersama-sama anak isterinya dan segala harta miliknya, untuk melunaskan hutang. Pegawai itu sujud di hadapan raja dan memohon, ‘Bersabarlah terhadap hamba. Hamba akan melunaskan segala hutang hamba.’ Raja itu kasihan kepadanya lalu menghapuskan semua hutangnya dan membebaskan dia. Tetapi apabila pegawai itu keluar, dia berjumpa dengan seorang pegawai lain yang berhutang wang beberapa ratus sahaja kepadanya. Dia menangkap rakannya, lalu mencekiknya dan berkata, ‘Lunaskan semua hutangmu.’ Rakannya itu sujud di hadapannya dan memohon, ‘Bersabarlah, aku akan melunaskan hutangku!’ Tetapi pegawai itu tidak menghiraukan permohonan rakannya. Sebaliknya, dia memberikan perintah supaya rakannya dipenjarakan sehingga dia melunaskan hutangnya. Apabila pegawai-pegawai yang lain melihat hal itu, mereka sangat sedih dan melaporkan segala perkara itu kepada raja. Lalu raja memanggil pegawai yang jahat itu dan bertitah, ‘Hai hamba yang jahat! Semua hutangmu sudah dihapuskan kerana kamu memohon supaya beta mengampunimu. Sepatutnya kamu mengasihani rakanmu, sebagaimana beta sudah mengasihani kamu.’ Raja sangat murka, lalu pegawai yang jahat itu dipenjarakan dan dihukum sehingga semua hutangnya dilunaskan.” Yesus mengakhiri ceritanya dan berkata, “Demikianlah Bapa-Ku yang di syurga akan memperlakukan setiap orang daripada kamu, jika kamu tidak mengampuni saudaramu dengan ikhlas.”

YouVersion menggunakan kuki untuk memperibadikan pengalaman anda. Dengan menggunakan laman web kami, anda menerima penggunaan kuki kami seperti yang diterangkan dalam Polisi Privasi kami