MATIUS 18:1-20

MATIUS 18:1-20 BM

Pada waktu itu pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus dan bertanya, “Siapakah yang dianggap terbesar antara orang yang menikmati Pemerintahan Allah?” Yesus memanggil seorang kanak-kanak dan menyuruhnya berdiri di hadapan mereka semua. Lalu Yesus berkata, “Ketahuilah! Kecuali kamu mengubah sikap dan menjadi seperti kanak-kanak, kamu tidak dapat menikmati Pemerintahan Allah. Orang yang dianggap terbesar antara mereka yang menikmati Pemerintahan Allah adalah orang yang merendahkan diri dan menjadi seperti kanak-kanak. Sesiapa yang menyambut kanak-kanak seperti ini kerana Aku, menyambut Aku.” “Sesiapa menyebabkan salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini tidak lagi percaya kepada-Ku, lebih baik jika batu kisaran diikatkan pada leher orang itu, lalu dia ditenggelamkan ke dalam laut yang dalam. Alangkah malangnya dunia ini kerana ada perkara-perkara yang menyebabkan orang berdosa. Perkara-perkara seperti ini akan sentiasa berlaku, tetapi malanglah orang yang menyebabkannya! Jika tangan atau kakimu menyebabkan kamu berdosa, potonglah dan buanglah tangan atau kaki itu. Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah tangan atau sebelah kaki, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah tangan atau kaki. Jika matamu menyebabkan kamu berdosa, cungkillah dan buanglah mata itu! Lebih baik kamu hidup dengan Allah tanpa sebelah mata, daripada kamu dibuang ke dalam api neraka dengan kedua-dua belah mata.” “Awas! Jangan hina salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini. Ketahuilah, malaikat-malaikat mereka sentiasa di hadirat Bapa-Ku di syurga. [Anak Manusia datang untuk menyelamatkan orang yang sesat!] Bagaimanakah pendapat kamu? Apakah yang akan dilakukan oleh seorang yang mempunyai seratus ekor domba, jika seekor daripada kawanan domba itu sesat? Tentunya orang itu akan meninggalkan sembilan puluh sembilan ekor domba yang sedang meragut rumput di bukit, lalu pergi mencari domba yang sesat itu. Ketahuilah! Apabila dia menjumpai domba itu, kegembiraannya atas domba yang seekor itu lebih besar daripada kegembiraannya atas sembilan puluh sembilan ekor domba lainnya yang tidak sesat. Demikian juga Bapa kamu yang di syurga tidak mahu salah seorang pengikut-Ku yang kecil ini sesat.” “Jika saudaramu berdosa terhadapmu, pergilah kepadanya dan tunjukkan kesalahannya. Lakukan hal ini dengan diam-diam antara kamu berdua sahaja. Jika dia menurut kata-katamu, maka kamu berjaya mendapat kembali saudaramu. Tetapi jika tidak, bawalah seorang atau dua orang bersama-samamu. Berbuatlah demikian kerana di dalam Alkitab tertulis, ‘Tiap-tiap tuduhan harus dikuatkan oleh kesaksian dua atau tiga orang saksi.’ Jika dia tidak mahu menerima nasihat mereka, beritahukan perkara itu kepada jemaah. Akhirnya jika dia masih tidak mahu menerima nasihat jemaah, anggaplah dia sebagai orang yang tidak mengenal Allah atau sebagai pemungut cukai.” “Ketahuilah, apa yang kamu larang di dunia, akan dilarang juga di syurga. Apa yang kamu izinkan di dunia, akan diizinkan juga di syurga. Ketahuilah juga, setiap kali dua orang antara kamu di dunia ini bersetuju berdoa bagi perkara apa sahaja, doa itu akan dikabulkan oleh Bapa-Ku di syurga. Hal itu demikian kerana apabila dua atau tiga orang berkumpul kerana Aku, Aku pun di situ bersama-sama mereka.”