MATIUS 17

17
Yesus Dipermuliakan
(Mrk 9.2-13; Luk 9.28-36)
1Enam hari kemudian Yesus membawa Petrus, Yakobus, dan Yohanes, saudaranya pergi menyendiri ke sebuah gunung yang tinggi. 2Sewaktu mereka memandang Yesus, rupa Yesus berubah. Muka-Nya menjadi terang seperti matahari dan pakaian-Nya putih berkilau-kilauan. 3Lalu ketiga-tiga orang pengikut itu nampak Elia dan Musa berkata-kata dengan Yesus. 4Petrus berkata kepada Yesus, “Tuhan, sungguh baik kami di sini. Jika Tuhan mahu, aku akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Tuhan, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.”
5 Sementara Petrus berkata-kata, awan yang bersinar-sinar meliputi mereka, dan terdengar suara dari awan berkata, “Inilah Anak-Ku yang Aku kasihi. Dia menyenangkan hati-Ku. Dengarkanlah Dia!”
6Apabila pengikut-pengikut Yesus mendengar suara itu, mereka sangat ketakutan dan meniarap di tanah. 7Tetapi Yesus datang dan menyentuh mereka. “Bangunlah,” kata-Nya, “janganlah takut!” 8Apabila mereka memandang di sekeliling, mereka tidak nampak sesiapa pun, kecuali Yesus.
9Semasa mereka turun dari gunung itu, Yesus memerintah mereka, “Jangan beritahu sesiapa pun apa yang telah kamu lihat, selagi Anak Manusia belum dibangkitkan daripada kematian.”
10 Pengikut-pengikut-Nya bertanya kepada Yesus, “Mengapakah guru Taurat berkata bahawa Elia mesti datang terlebih dahulu?”
11Yesus menjawab, “Elia memang datang terlebih dahulu untuk menyediakan segala-galanya. 12 Tetapi Aku berkata kepada kamu, Elia sudah datang namun orang tidak mengenal dia; mereka memperlakukan dia dengan sesuka hati mereka. Dengan cara yang sama mereka akan memperlakukan Anak Manusia.”
13Barulah pengikut Yesus mengerti bahawa Yesus berkata-kata tentang Yohanes Pembaptis.
Yesus Menyembuhkan Seorang Anak yang Dirasuk Roh Jahat
(Mrk 9.14-29; Luk 9.37-43a)
14Apabila Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya kembali kepada orang ramai, seorang lelaki datang dan berlutut di hadapan Yesus. 15Dia berkata, “Tuan, kasihanilah anak lelaki saya! Dia menderita penyakit gila babi. Serangan sawannya begitu teruk sehingga kerap kali dia jatuh ke dalam air atau api. 16Saya membawa dia kepada pengikut-pengikut tuan, tetapi mereka tidak dapat menyembuhkannya.”
17Yesus menjawab, “Hai kamu orang yang tidak percaya dan yang sesat! Berapa lamakah Aku harus tinggal bersama-sama kamu? Berapa lamakah Aku harus bersabar terhadap kamu? Bawa anak itu ke mari!” 18Yesus menengking roh jahat itu, dan roh jahat itu pun keluar daripada anak itu. Pada saat itu juga anak itu sembuh.
19Kemudian pengikut-pengikut Yesus datang kepada Yesus, dan apabila tidak ada orang lain di situ mereka bertanya, “Mengapakah kami tidak dapat mengusir roh jahat itu?”
20 Yesus menjawab, “Kamu tidak dapat melakukannya, kerana kamu kurang percaya kepada Allah. Ketahuilah! Jika kamu mempunyai iman sebesar biji sawi, kamu dapat berkata kepada bukit ini, ‘Beralihlah ke sana!’ dan bukit ini akan beralih. Kamu dapat melakukan apa sahaja! [ 21Tetapi roh jahat semacam ini, hanya dapat diusir dengan doa dan puasa.]”
Yesus Berkata-kata Lagi tentang Kematian-Nya
(Mrk 9.30-32; Luk 9.43b-45)
22Apabila semua pengikut Yesus berkumpul di Galilea, Yesus berkata kepada mereka, “Tidak lama lagi Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia. 23Dia akan dibunuh, tetapi pada hari ketiga, Dia akan dibangkitkan semula.”
Oleh itu pengikut-pengikut-Nya berdukacita.
Pembayaran Cukai Rumah Tuhan
24 Apabila Yesus dan pengikut-pengikut-Nya tiba di Kapernaum, para pemungut cukai Rumah Tuhan datang kepada Petrus dan bertanya, “Adakah guru kamu membayar cukai Rumah Tuhan?”
25Petrus menjawab, “Tentu sahaja!”
Apabila Petrus masuk ke dalam rumah, dan sebelum dia berkata apa-apa, Yesus berkata kepadanya, “Simon, apa pendapatmu? Siapakah yang membayar cukai kepada raja-raja dunia ini? Rakyat atau orang asing?”
26“Orang asing,” jawab Petrus.
“Jika demikian,” kata Yesus, “rakyat tidak perlu membayar. 27Tetapi janganlah kita singgung perasaan sesiapa pun. Pergilah ke tasik dan pancinglah ikan. Di dalam mulut ikan pertama yang engkau tangkap, engkau akan mendapati sekeping duit syiling yang cukup untuk membayar cukai Rumah Tuhan bagi kita berdua. Ambillah duit itu dan bayarlah cukai kita.”

Terpilih Sekarang Ini:

MATIUS 17: BM

Highlight

Kongsi

Salin

None

Ingin menyimpan sorotan merentas semua peranti anda? Mendaftar atau log masuk