MATIUS 10:16-20, 26-31

MATIUS 10:16-20 BM

“Dengarlah! Aku mengutus kamu seperti domba ke tengah-tengah serigala. Kamu harus waspada seperti ular dan tulus hati seperti burung merpati. Berjaga-jagalah, kerana ada orang yang akan menangkap kamu dan membawa kamu ke mahkamah, dan kamu akan disesah di rumah ibadat mereka. Kamu akan diadili di hadapan penguasa dan raja kerana kamu pengikut-Ku, dan kamu akan mengkhabarkan Berita Baik daripada Allah kepada mereka dan kepada bangsa yang tidak mengenal Allah. Apabila kamu diadili, janganlah khuatir tentang apa yang hendak kamu katakan atau bagaimana kamu harus mengatakannya. Apabila tiba masanya, kamu akan diberitahu apa yang harus kamu katakan. Kata-kata yang akan kamu ucapkan itu bukan kata-kata kamu sendiri, tetapi kata-kata itu daripada Roh Bapa kamu yang berkata-kata melalui kamu.

MATIUS 10:26-31 BM

“Janganlah takut akan manusia. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan tiap-tiap rahsia akan didedahkan. Apa yang Aku katakan kepada kamu secara sulit, hendaklah kamu ulangi di hadapan orang ramai. Apa yang dibisikkan di telinga kamu, umumkanlah seluas-luasnya! Janganlah takut akan mereka yang membunuh badan, tetapi tidak berkuasa membinasakan roh. Tetapi takutlah akan Allah yang berkuasa membinasakan baik badan mahupun roh di dalam neraka. Kamu dapat membeli dua ekor burung pipit dengan mata wang yang paling kecil. Meskipun demikian tidak seekor pun jatuh ke tanah tanpa persetujuan Bapa kamu. Rambut di kepala kamu pun sudah dihitung semuanya. Oleh itu, janganlah takut! Di sisi Allah, kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit!”