MALEAKHI 2:1-9

MALEAKHI 2:1-9 BM

TUHAN Yang Maha Kuasa berfirman kepada para imam, “Inilah perintah-Ku kepada kamu: Kamu mesti menghormati Aku dengan perbuatan kamu. Jika kamu tidak mahu mendengarkan firman-Ku, Aku akan mengutuk kamu. Aku akan mengutuk segala sesuatu yang kamu terima sebagai rezeki. Sesungguhnya, Aku sudah mengutuk semuanya kerana kamu tidak mengendahkan perintah-Ku. Aku akan menghukum anak-anak kamu, dan Aku melumuri muka kamu dengan najis binatang yang kamu persembahkan. Kemudian orang akan menyeret kamu ke timbunan najis. Dengan demikian kamu akan tahu bahawa Aku memberi kamu perintah ini supaya perjanjian-Ku dengan para imam, keturunan Lewi, tidak dibatalkan. Dalam perjanjian itu Aku berjanji memberi mereka hidup yang aman dan sejahtera. Aku menepati perjanjian itu supaya mereka menghormati Aku. Pada masa itu memang mereka menghormati Aku dan takut akan Aku. Mereka mengajar apa yang benar dan bukan yang salah. Mereka akrab dengan Aku; bukan sahaja mereka melakukan kehendak-Ku, tetapi mereka juga menolong banyak orang supaya berhenti melakukan kejahatan. Para imam wajib mengajarkan apa yang benar tentang Allah. Rakyat harus datang kepada para imam untuk mengetahui kehendak-Ku kerana mereka utusan TUHAN Yang Maha Kuasa. Tetapi sekarang, kamu imam-imam, telah menyimpang dari jalan yang benar. Ajaran kamu sudah menyebabkan banyak orang berbuat salah. Kamu sudah melanggar perjanjian yang Aku buat dengan kamu. Oleh itu Aku pun akan menyebabkan kamu tidak dihormati oleh umat Israel kerana kamu tidak mentaati kehendak-Ku, dan kerana kamu membeza-bezakan orang ketika kamu mengajar.”