LUKAS 9:28-62

LUKAS 9:28-62 BM

Kira-kira seminggu setelah Yesus mengatakan perkara-perkara itu, Dia membawa Petrus, Yohanes, dan Yakobus ke sebuah bukit untuk berdoa. Sedang Yesus berdoa, wajah-Nya berubah dan pakaian-Nya menjadi putih berkilauan. Tiba-tiba dua orang bercakap dengan Dia; mereka Musa dan Elia. Mereka kelihatan bersinar-sinar dengan cahaya dari syurga. Mereka berkata-kata dengan Yesus tentang bagaimana Yesus akan segera memenuhi rancangan Allah dengan kematian-Nya di Yerusalem. Pada waktu itu Petrus dan kawan-kawannya tidur nyenyak. Tetapi mereka terjaga dan nampak kemuliaan Yesus serta dua orang yang berdiri dengan-Nya. Ketika dua orang itu hendak meninggalkan Yesus, Petrus berkata kepada-Nya, “Guru, sungguh baik kami di sini. Kami akan mendirikan tiga buah khemah: satu untuk Guru, satu untuk Musa, dan satu lagi untuk Elia.” (Sebenarnya Petrus tidak mengetahui apa yang dikatakannya.) Sementara Petrus berkata demikian, awan datang lalu meliputi mereka, sehingga mereka takut. Dari awan itu terdengar suara berkata, “Inilah Anak-Ku yang telah Aku pilih. Dengarkan kata-kata-Nya!” Apabila suara itu berhenti berkata-kata, mereka melihat Yesus seorang diri di situ. Pengikut-pengikut-Nya tidak berkata apa-apa tentang semuanya itu. Pada waktu itu mereka tidak memberitahu sesiapa pun apa yang telah dilihat oleh mereka. Keesokan harinya Yesus dan ketiga-tiga orang pengikut-Nya turun dari bukit dan orang ramai datang menjumpai Yesus. Seorang lelaki dari tengah-tengah orang ramai itu berseru, “Guru, tolonglah lihat anak saya - anak tunggal saya! Apabila roh jahat merasuknya, dia tiba-tiba berteriak dan menderita penyakit gila babi sehingga mulutnya berbuih. Roh jahat itu terus-menerus menyakiti dia dan tidak mahu melepaskannya! Saya telah meminta pengikut-pengikut Guru mengusir roh jahat itu, tetapi mereka tidak dapat melakukannya.” Yesus menjawab, “Hai kamu yang sesat dan tidak percaya! Berapa lamakah harus Aku tinggal bersama-sama kamu dan bersabar terhadap kamu?” Lalu Yesus berkata kepada orang itu, “Bawalah anakmu ke mari.” Ketika anak itu menghampiri Yesus, roh jahat membanting anak itu ke tanah lalu tubuhnya berkejang-kejang. Yesus mengusir roh jahat itu dan menyembuhkan anak itu, lalu menyerahkannya kembali kepada bapanya. Semua orang hairan melihat kuasa Allah yang begitu besar! Sementara mereka masih terhairan-hairan tentang segala perkara yang dilakukan-Nya, Yesus berkata kepada pengikut-pengikut-Nya, “Janganlah lupa akan apa yang Aku katakan ini: Anak Manusia akan diserahkan ke dalam kekuasaan manusia.” Tetapi pengikut-pengikut-Nya tidak memahami maksud kata-kata itu. Allah merahsiakan hal itu daripada mereka sehingga mereka tidak dapat memahaminya. Tetapi mereka takut bertanya kepada Yesus tentang perkara itu. Pertengkaran timbul antara pengikut-pengikut Yesus tentang siapa yang terbesar. Yesus mengetahui apa yang difikirkan mereka. Oleh itu Dia menyuruh seorang kanak-kanak berdiri di sisi-Nya. Lalu Dia berkata kepada mereka, “Sesiapa yang menyambut kanak-kanak ini kerana Aku, menyambut Aku. Dan sesiapa yang menyambut Aku, juga menyambut Dia yang mengutus Aku. Sesiapa yang terkecil antara kamu, dialah yang terbesar!” Yohanes berkata, “Guru, kami nampak seorang mengusir roh jahat dengan nama Guru. Kami melarang dia, kerana dia tidak termasuk golongan kita.” Yesus berkata kepada Yohanes dan pengikut-Nya yang lain, “Jangan larang dia, kerana orang yang tidak melawan kamu berpihak kepada kamu.” Apabila sudah dekat masanya Yesus diangkat ke syurga, Dia mengambil keputusan untuk pergi ke Yerusalem. Dia menyuruh orang pergi terlebih dahulu daripada Dia. Mereka berangkat dan pergi ke sebuah pekan di Samaria untuk menyediakan tempat bermalam bagi Yesus. Tetapi penduduk pekan itu tidak mahu menerima Yesus, kerana nyata sekali bahawa Yesus sedang menuju ke Yerusalem. Ketika Yakobus dan Yohanes, pengikut Yesus mengetahui hal itu, mereka berkata, “Tuhan, adakah Tuhan mahu kami meminta api turun dari syurga untuk membinasakan mereka?” Yesus berpaling lalu memarahi mereka. Setelah itu Dia dan pengikut-pengikut-Nya pergi ke pekan lain. Sedang mereka meneruskan perjalanan, datanglah seseorang berkata kepada Yesus, “Saya bersedia mengikut tuan ke mana sahaja tuan pergi!” Yesus menjawab, “Serigala mempunyai lubang dan burung mempunyai sarang, tetapi Anak Manusia tidak mempunyai tempat untuk berbaring dan berehat.” Lalu Dia berkata pula kepada seorang lain, “Ikutlah Aku.” Tetapi orang itu berkata, “Tuan, benarkan saya balik untuk mengebumikan jenazah bapa saya dahulu.” Yesus menjawab, “Biarlah orang mati menguburkan orang mati mereka sendiri. Tetapi kamu, pergilah khabarkan berita bahawa Allah sudah mula memerintah.” Seorang lain pula berkata, “Tuan, saya mahu mengikut tuan, tetapi benarkan saya balik dahulu untuk mengucapkan selamat tinggal kepada keluarga saya.” Yesus berkata kepadanya, “Orang yang mula membajak, tetapi selalu menoleh ke belakang, tidak layak menikmati Pemerintahan Allah.”