LUKAS 8:1-21

LUKAS 8:1-21 BM

Tidak berapa lama kemudian, Yesus menjelajah kota dan pekan untuk mengkhabarkan Berita Baik bahawa Allah mula memerintah. Dua belas orang pengikut-Nya menyertai Dia, dan juga beberapa orang wanita yang sudah disembuhkan daripada kerasukan roh jahat dan penyakit. Antara mereka termasuk Maria yang disebut Magdalena (tujuh roh jahat sudah diusir daripada dirinya); Yohana, isteri Khuza, pegawai istana Herodes; Susana dan banyak lagi wanita lain. Mereka menggunakan harta mereka untuk membantu Yesus dan pengikut-pengikut-Nya. Orang terus-menerus datang kepada Yesus dari berbagai-bagai kota. Apabila orang yang berkumpul di situ banyak sekali, Yesus menceritakan perumpamaan ini kepada mereka. Dia berkata, “Seorang peladang pergi menabur benih. Ketika dia menabur benih, ada yang jatuh di jalan. Benih itu dipijak-pijak orang dan dimakan burung. Ada juga yang jatuh di tempat berbatu. Apabila benih bertunas, tanaman itu segera layu kerana tanahnya kering. Ada juga yang jatuh di tengah-tengah semak berduri. Apabila benih bertunas, semak berduri yang tumbuh bersama-samanya membantutkan tumbuhan itu. Tetapi ada juga benih yang jatuh di tanah subur, lalu tumbuh dan menghasilkan buah seratus kali ganda.” Setelah Yesus menceritakan perumpamaan itu, Dia berkata, “Jika kamu bertelinga, dengarlah baik-baik!” Pengikut-pengikut Yesus bertanya kepada-Nya makna perumpamaan itu. Yesus menjawab, “Kamu telah diberikan anugerah untuk mengetahui rahsia tentang bagaimana Allah memerintah. Tetapi yang lain diberitahukan hal itu melalui perumpamaan, supaya mereka melihat tetapi tidak nampak dan mereka mendengar tetapi tidak faham.” “Inilah makna perumpamaan itu: Benih itu firman Allah. Benih yang jatuh di jalan bagaikan orang yang mendengar perkhabaran Allah, tetapi Iblis datang dan mengambil perkhabaran itu dari hati mereka, supaya mereka tidak percaya ataupun diselamatkan. Benih yang jatuh di tempat berbatu bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu dan menerimanya dengan sukacita. Tetapi perkhabaran itu tidak berakar di dalam hati. Mereka percaya sekejap sahaja dan ketika cubaan datang mereka tidak lagi percaya kepada perkhabaran itu. Benih yang jatuh di tengah semak berduri bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu, tetapi kekhuatiran, kekayaan, dan kemewahan hidup membantutkan perkhabaran itu sehingga mereka tidak menghasilkan buah yang matang. Benih yang jatuh di tanah subur bagaikan orang yang mendengar perkhabaran itu serta menyimpannya di dalam hati yang baik dan jujur. Mereka bertekun sehingga menghasilkan buah.” “Tiada seorang pun memasang pelita lalu menaruhnya di bawah pasu, ataupun meletakkannya di bawah katil. Dia akan meletakkan pelita itu di atas kaki pelita, supaya orang yang masuk ke dalam rumah dapat melihat cahayanya. Apa yang tersembunyi akan dinyatakan, dan apa yang dirahsiakan akan diketahui dan didedahkan. Oleh itu perhatikanlah apa yang kamu dengar. Seseorang yang mempunyai sesuatu akan diberi lebih banyak lagi, tetapi seseorang yang tidak mempunyai apa-apa, sedikit yang disangka ada padanya akan diambil juga.” Ibu dan saudara-saudara Yesus datang kepada Yesus, tetapi mereka tidak dapat menghampiri Dia kerana orang di situ terlalu banyak. Lalu seorang berkata kepada Yesus, “Tuan, ibu dan saudara-saudara tuan di luar. Mereka hendak berjumpa dengan tuan.” Tetapi Yesus berkata kepada mereka semua, “Orang yang mendengar firman Allah serta mentaatinya, merekalah ibu dan saudara-saudara-Ku.”